Skip to main content

Malaysia

PM Anwar rafak sembah tahniah sempena Ulang Tahun Keputeraan Rasmi Agong

Sumber: Anwar Ibrahim
Perdana Menteri Anwar merafak sembah dan menzahirkan ucapan tahniah bersempena dengan Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini merafak sembah dan menzahirkan ucapan tahniah bersempena dengan Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.

Menerusi hantaran di Facebook, Anwar berkata, beliau bagi pihak Kerajaan MADANI dan seluruh rakyat, mendoakan Seri Paduka Baginda dan Raja Permaisuri Agong serta seluruh kerabat diraja dikurniakan keafiatan berpanjangan serta sentiasa berada dalam lindungan dan rahmat Allah SWT.

“Semoga (Seri Paduka) Baginda Tuanku kekal qarar memayungi negara dengan adil dan saksama, serta terus berada pada kedudukan paling tinggi dalam Perlembagaan negara, seiring fungsi institusi diraja sebagai pelindung agama Islam dan menjadi lambang perpaduan dan kesejahteraan semua kaum di negara ini.

“Patik dan sekalian rakyat akan terus menzahirkan taat setia yang tidak berbelah bahagi kepada institusi raja berperlembagaan. Dirgahayu Tuanku,” kata Anwar.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement