KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan beliau berkesempatan mengadakan perbualan telefon dengan Presiden Republik Islam Iran, Masoud Pezeshkian, bagi menyampaikan ucapan raya serta salam persaudaraan dan doa daripada seluruh rakyat Malaysia buat rakyat Iran.
Menerusi kenyataan yang dimuat naik di media sosial rasmi beliau, Anwar berkata beliau turut menzahirkan harapan agar Iran segera kembali aman dan segala ketegangan serta pertumpahan darah dapat dihentikan melalui jalan damai, hikmah dan diplomasi yang bertanggungjawab.
"Malaysia kekal berpendirian tegas mengecam sebarang tindakan serangan dan pencerobohan termasuk yang melibatkan serangan dron serta tindakan ketenteraan Israel dan Amerika Syarikat yang disifatkan hanya akan terus mengorbankan nyawa rakyat tidak berdosa," katanya.
Dalam perbualan itu, beliau turut merakamkan penghargaan atas dukungan dan kerjasama pihak Iran dalam membantu urusan pelepasan kapal Malaysia di Selat Hormuz sebelum ini.
Menurut Anwar, sikap saling menghormati dan semangat persahabatan seperti itu perlu terus diperkukuh dalam hubungan antara negara.
Beliau berkata, Presiden Iran turut menyatakan penghargaan terhadap pendirian konsisten Malaysia yang menjunjung keamanan, keadilan dan prinsip kemanusiaan di pentas antarabangsa.
Malah, Masoud turut mengundang Anwar untuk mengadakan lawatan ke Tehran bagi memperkukuh hubungan dua hala serta kerjasama strategik antara kedua-dua negara.
“Insya-Allah, saya akan mengatur jadual untuk ke Iran pada masa yang sesuai. Iran sentiasa dekat di hati saya, apatah lagi ramai sahabat dan kenalan di sana yang terus mempertahankan nilai ilmu, persaudaraan dan perjuangan kemanusiaan sejagat,” katanya.