JERTIH: Seorang pesara guru kerugian RM91,062.44 selepas membuat 19 kali pemindahan wang melibatkan urusan pelaburan kripto tidak wujud yang diiklankan melalui aplikasi TikTok.
Ketua Polis Daerah Besut Supt Mohd Rozaime Ab Rahman berkata pada 18 Mac lepas, mangsa seorang wanita berusia 58 tahun telah dihubungi individu tidak dikenali melalui aplikasi WhatsApp, memujuk mangsa menyertai pelaburan berkenaan selepas tertarik iklan pelaburan di media sosial yang menjanjikan pulangan cepat dan lumayan.
“Mangsa telah diminta mendaftar dan menghantar maklumat peribadi termasuk salinan kad pengenalan dan suspek seterusnya meyakinkan mangsa untuk membuat pelaburan bermula serendah RM300.
“Mangsa yang tertarik dengan tawaran tersebut melakukan 19 transaksi wang ke dalam akaun diberikan dan kali terakhir melakukan transaksi ialah pada 20 April lepas,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Rozaime berkata mangsa menyedari ditipu setelah tidak menerima sebarang pulangan seperti dijanjikan dan diminta membuat bayaran tambahan.
Beliau berkata mangsa kemudian tampil membuat laporan polis semalam untuk tindakan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
-- BERNAMA