Skip to main content

Malaysia

Pendaki hilang: Anggota PGA dibawa melalui udara sertai operasi SAR, tingkat aspek keselamatan

https://bernama.com/bm/am/news.php?id=2563568
Operasi SAR hari ini membabitkan pesawat MI-17 bagi menghantar pasukan penyelamat ke operasi pencarian di Kem Kantoi. - Foto Bernama

TAPAH: Anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) hari ini dibawa melalui udara bagi membantu operasi mencari dan menyelamat (SAR) pendaki wanita Jaslinda Saludin, 49, yang dilaporkan hilang di Gunung Batu Putih dekat Tapah sejak 23 Mei.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak Sabarodzi Nor Ahmad berkata kehadiran lapan anggota PGA Batalion 3 Bidor itu memasuki sektor pencarian, turut didorong faktor keselamatan berikutan ancaman hidupan liar selepas penemuan najis haiwan buas di kawasan sekitar.

“Kehadiran PGA (sebelum ini menerusi laluan darat) ini sedikit sebanyak membantu dari segi aspek keselamatan dan pada masa yang sama juga, satu gabungan kepakaran yang ada pada pihak mereka,” katanya kepada Bernama dan RTM, di Pusat Kawalan Hadapan (PKH) operasi mencari dan menyelamat (Ops SAR) Gunung Batu Putih JBPM di Batalion 3 PGA Bidor, dekat sini hari ini.

Beliau berkata kemasukan anggota PGA bersama lapan anggota STORM JBPM serta lapan anggota Jabatan Perhutanan termasuk malim gunung, menggunakan pesawat MI-17 memudahkan pergerakan berbanding sebelum ini yang memerlukan mereka berjalan kaki melalui jalan darat menerusi Gunung Batu Bujang dan Pos Kuala Woh.

Sabarodzi turut memaklumkan bahawa beliau belum dapat memastikan sama ada operasi hari ini merupakan fasa penggeledahan terakhir, memandangkan satu mesyuarat penyelarasan dijadualkan berlangsung pada Rabu.

Sementara itu, Pengarah JBPM Perak Datuk Sayani Saidon dalam kenyataan memaklumkan setakat 10 pagi tadi, masih terdapat lapan anggota pasukan penyelamat yang berada dalam sektor pencarian bermula dari Kem Sukaneka membawa ke Gunung Rayu.

Beliau berkata pada 11.20 pagi, seramai enam anggota penyelamat terdiri daripada dua anggota JBPM, tiga anggota PGA dan seorang petugas Perhutanan telah digerakkan ke lokasi Kem Kantoi dengan menaiki pesawat MI-17 bagi membawa keluar lapan anggota penyelamat sedia ada yang membawa kamera pelindung di puncak Gunung Rayu.

“Komunikasi bersama pasukan penyelamat masih terputus, dipercayai disebabkan berada di kawasan lembah dan terhalang liputan komunikasi,” katanya berkenaan status terkini operasi membabitkan keseluruhan 24 anggota baharu itu.

Beliau berkata aktiviti SAR masih giat dijalankan di Kem Kantoi sehingga ke Gunung Rayu oleh anggota JBPM, Perhutanan, Malim Gunung Perhutanan (MGP) serta PGA dan sebarang perkembangan akan dikemas kini berdasarkan maklumat daripada kamera pelindung yang dibawa turun tersebut.

Dalam pada itu, Bernama turut berpeluang menaiki pesawat MI-17 bagi meninjau perjalanan operasi menghantar pasukan penyelamat ke lokasi pencarian.

Tinjauan mendapati untuk menghantar pasukan penyelamat dari PKH ke Kem Kantoi mengambil masa kira-kira satu jam, membabitkan dua anggota STORM JBPM, tiga anggota PGA dan seorang kakitangan Jabatan Perhutanan.

Mereka diturunkan menggunakan teknik winching, termasuk peralatan dan beg.

Berada di udara kira-kira 2,000 meter dari aras laut, pemandangan gunung yang berbukit bukau dan diliputi pokok, menjadikan kesemuanya “hijau”, seolah-olah menyukarkan lagi pencarian jika dilihat dari udara.

Sebelum ini, Jaslinda dilaporkan bersama 13 lagi individu dan dua MGP memulakan pendakian Trans Spencer Chapman pada 2 pagi, 23 Mei melalui laluan Pos Gedung-Gunung Bah Gading-Gunung Batu Putih-Kuala Woh.

Jaslinda dan seorang lagi pendaki Mohd Hanafi Neikmad, 41, mengalami masalah kesihatan dan berhenti, bagaimanapun Jaslinda dilaporkan meneruskan perjalanan ke puncak gunung dan kali terakhir dilihat oleh MGP pada, 24 Mei (7.30 pagi).

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement