TEHRAN: Iran menegaskan sebarang perjanjian dengan Amerika Syarikat (AS) bagi meredakan konflik perlu merangkumi jaminan gencatan senjata di Lubnan.
Jurucakap Kementerian Luar Iran Esmaeil Baghaei berkata pendirian itu disuarakan susulan peningkatan operasi ketenteraan di selatan Lubnan sejak pertengahan April lalu.
“Kami menegaskan bahawa gencatan senjata di Lubnan adalah syarat penting bagi sebarang perjanjian yang bertujuan menamatkan konflik,” katanya dalam sidang media hari ini.
Kenyataan itu dibuat ketika Iran dan AS dilaporkan masih berhubung berkenaan draf memorandum persefahaman (MoU) bagi meredakan ketegangan antara kedua-dua negara.
Menurut laporan, draf tersebut sebelum ini memberi tumpuan kepada isu hubungan dua hala tanpa melibatkan peningkatan operasi ketenteraan pihak lain di rantau Asia Barat.
Perkembangan berkenaan dilihat menambah kerumitan kepada rundingan sedia ada apabila Iran mengaitkan syarat tambahan melibatkan situasi di Lubnan.
Setakat ini, pihak White House dan kerajaan Israel belum mengeluarkan sebarang maklum balas rasmi berhubung kenyataan tersebut.