Skip to main content

Berita

ATM sertai latihan ketenteraan PRAGATI 2026 di India

ATM MSIA INDIA kredit: Kedutaan India
Seramai 10 pegawai Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menyertai latihan ketenteraan multinasional Exercise PRAGATI 2026 yang dianjurkan Tentera Darat India. - Foto Kedutaan India di Malaysia

KUALA LUMPUR: Seramai 10 pegawai Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menyertai latihan ketenteraan multinasional Exercise PRAGATI 2026 yang dianjurkan Tentera Darat India di Stesen Tentera Umroi, Meghalaya, India, selama dua minggu yang berakhir Ahad lalu. 

Latihan itu menghimpunkan lebih 400 pegawai tentera dari 13 negara dalam usaha memperkukuh kerjasama pertahanan serantau serta meningkatkan keupayaan menghadapi pelbagai ancaman keselamatan rentas sempadan. 

Selain Malaysia, negara yang mengambil bahagian adalah Bhutan, Kemboja, Indonesia, Laos, Maldives, Myanmar, Nepal, Filipina, Seychelles, Sri Lanka dan Vietnam.

Memetik portal tempatan NDTV, sepanjang latihan, peserta didedahkan kepada pelbagai operasi ketenteraan dalam persekitaran mencabar, termasuk peperangan dalam hutan dan operasi melawan keganasan. 

Mereka turut menjalani latihan serang hendap dan serang balas, pemusnahan bahan letupan improvisasi (IED), pemindahan mangsa kecemasan serta teknik turun dari helikopter menggunakan tali. 

Latihan yang berlangsung di kawasan berbukit dan berhutan tebal Meghalaya itu turut memberi peluang kepada anggota tentera untuk berkongsi pengalaman serta meningkatkan interoperabiliti bersama angkatan tentera negara lain dalam menghadapi cabaran keselamatan serantau. 

Selain memperkukuh kemahiran taktikal, PRAGATI 2026 menjadi platform penting untuk mempererat hubungan profesional dan membina keyakinan antara negara peserta, sekali gus memudahkan penyelarasan tindakan sekiranya berlaku bencana, ancaman keganasan atau krisis keselamatan pada masa hadapan. 

Dalam masa sama, program itu turut menampilkan pameran aset dan teknologi pertahanan keluaran India yang dianjurkan bersama Persekutuan Dewan Perniagaan dan Industri India (FICCI) serta Army Design Bureau. 

Penganjuran latihan berkenaan dilihat selari dengan usaha India memperkukuh kerjasama keselamatan dan pertahanan dalam kalangan negara di rantau Teluk Bengal dan Indo-Pasifik yang berdepan cabaran bersama seperti keganasan, jenayah rentas sempadan, ancaman maritim serta pengurusan bencana. 

PRAGATI membawa maksud Regional Army Cooperation for Growth and Transformation in the Indian Ocean Region (Kerjasama Tentera Darat Serantau untuk Pertumbuhan dan Transformasi di Rantau Lautan Hindi). 

Must Watch Video

Advertisement