KUALA LUMPUR: Kelemahan sistem pemantauan kewangan organisasi bukan kerajaan (NGO) di Malaysia didakwa berpunca daripada struktur pendaftaran yang terlalu berpecah serta ketiadaan mekanisme pemantauan berterusan terhadap kutipan dan penggunaan dana awam.
Presiden MERCY Malaysia Datuk Dr Ahmad Faizal Mohd Perdaus berkata, pemantauan sedia ada lebih bersifat umum dan lazimnya hanya berlaku ketika mesyuarat agung tahunan sesebuah NGO.
Menurut beliau, keadaan itu menyebabkan tiada pemantauan secara langsung dilakukan terhadap proses kutipan, penyimpanan, penggunaan dan pengagihan dana yang diterima organisasi terbabit.
“Pemantauan yang umum itu ada… setiap kali mesyuarat agung ada pembentangan akaun atau kira-kira kewangan secara umum.
“Tetapi yang tidak ada ialah pemantauan secara langsung tentang kutipan, penggunaan, pengagihan dan penyimpanan sumber kewangan diterima, di mana disimpan, bagaimana disimpan dan ke mana diagihkan,” katanya kepada Astro AWANI hari ini.
Ahmad Faizal berkata, antara cabaran utama dalam penyelarasan pemantauan NGO ialah kewujudan pelbagai kaedah pendaftaran organisasi di negara ini.
Katanya, selain NGO yang berdaftar di bawah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS), terdapat juga organisasi yang beroperasi sebagai NGO tetapi didaftarkan di bawah Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) sebagai syarikat berhad menurut jaminan.
Menurut beliau, terdapat juga NGO yang didaftarkan sebagai yayasan melalui pelbagai saluran termasuk Jabatan Perdana Menteri, kementerian tertentu dan kelulusan kuasa menteri.
“Malah ada juga badan yang didaftarkan sebagai koperasi di bawah kementerian koperasi tetapi menjalankan aktiviti seperti NGO.
“Inilah sebenarnya salah satu sebab tidak ada pemantauan yang berstruktur dan jelas, kerana terlalu banyak cara NGO didaftarkan di bawah peraturan dan undang-undang yang sedikit berbeza,” katanya.
Beliau berkata, walaupun garis panduan dan peraturan sedia ada wujud, ketiadaan satu rangka undang-undang yang mengharmonikan semua sistem pendaftaran menyebabkan pemantauan sukar dilaksanakan secara menyeluruh.
Tambah beliau, kebanyakan sistem ketika ini banyak bergantung kepada tanggungjawab NGO sendiri untuk melaksanakan audit dalaman dan audit luaran.
“Ada NGO yang melaksanakan dengan baik dan telus, tetapi ada juga NGO yang mungkin tidak mempunyai kapasiti atau keupayaan untuk menjalankan audit dengan sempurna,” katanya.
Dalam masa sama, beliau turut membangkitkan persoalan sama ada proses penubuhan NGO di Malaysia ketika ini terlalu mudah sehingga aspek tatakelola dan keupayaan pengurusan kewangan tidak diberikan perhatian secukupnya.
“Kalau NGO boleh ditubuhkan dengan beberapa orang sahaja tanpa melihat kapasiti, soal audit dan tatakelola mungkin jauh daripada pemikiran mereka.
“Tidak kiralah aktiviti itu bantuan kemanusiaan, alam sekitar atau kebajikan… niat asal mungkin baik, tetapi aspek ketelusan dan tatakelola tetap perlu diberi perhatian,” katanya.
Beliau turut mencadangkan supaya diwujudkan satu platform berpusat bagi membolehkan NGO mengemukakan laporan kewangan secara terbuka dan memudahkan audit dijalankan oleh badan pengawal selia sekiranya perlu.