SEREMBAN: Seorang lelaki tempatan dan tiga warga Myanmar termasuk seorang wanita dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan memiliki lebih 4,000 kilogram (kg) minyak masak tanpa lesen, Selasa lepas.
Mereka terdiri daripada Chong Sze Thong, 52, dan warga Myanmar, iaitu Thung Khaw, 27, Moe Myint Weh Yan, 17, dan Nan Thet Khin, 32.
Bagaimanapun, Chong mengaku tidak bersalah atas pertuduhan itu, manakala tiada pengakuan direkodkan bagi tiga tertuduh lain selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohamad Kamil Nizam.
Mengikut pertuduhan, kesemua mereka didapati memiliki barang berjadual, iaitu minyak masak berjumlah kira-kira 4,705 kg dalam keadaan menimbulkan syak munasabah di sebuah premis tanpa nama pada 12.15 tengah hari di Kampung Bharu Mantin, 7 April lepas.
Mereka didakwa melakukan kesalahan mengikut Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974, iaitu berurusan dengan minyak masak secara borong tanpa lesen.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961, yang boleh dihukum di bawah Seksyen 22(1) akta sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan denda maksimum RM1 juta atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Pegawai Pendakwa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) Azmil Aspara menawarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin, dan memohon tarikh lain untuk sebutan semula bagi ketiga-tiga warga Myanmar selain, tiada jaminan ditawarkan kepada mereka.
Peguam Mohd Amin Arsan yang mewakili Chong memohon jaminan RM5,000 berikutan anak guamnya bekerja sebagai pemandu lori dengan gaji kira-kira RM3,000 hingga RM3,500 dan perlu menanggung isteri, dua anak, ibu dan ibu saudara yang tinggal bersamanya.
Mahkamah kemudian membenarkan Chong diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin serta beberapa syarat tambahan termasuk menyerahkan pasport kepada mahkamah, melapor diri di pejabat KPDN setiap bulan serta tidak mengganggu saksi.
Mahkamah menetapkan 27 April ini untuk sebutan kes bagi serahan dokumen dan laporan kimia terhadap Chong selain pelantikan jurubahasa Myanmar untuk tiga lagi tertuduh.
-- BERNAMA