MELAKA: Melaka dijangka menerima kemasukan lebih 300,000 kenderaan sempena perayaan Aidiladha dan cuti sekolah, sekali gus meningkatkan kehadiran pelancong ke negeri itu.
Exco Kanan, Perumahan, Kerajaan Tempatan, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin berkata kerajaan negeri menerusi pihak berkuasa tempatan (PBT) telah membuat persediaan awal bagi memastikan keselamatan, kebersihan dan keselesaan pengunjung berada pada tahap terbaik.
"Semua PBT diarahkan meningkatkan tahap kesiapsiagaan terutama di kawasan tumpuan pelancong dan lokasi awam yang dijangka menerima peningkatan jumlah pengunjung sepanjang musim cuti.
“Kita telah meminta semua PBT supaya bersedia di tempat tumpuan pelancong dan bekerjasama rapat dengan agensi berkaitan bagi memastikan pengunjung berada dalam keadaan selamat dan selesa,” katanya kepada pemberita pada program Ibadah Korban Perdana Masjid As-Syuhada' Kem Terendak, Sungai Udang di sini, hari ini.
Hadir sama Panglima 3 Divisyen Mejar Jeneral Sani S Omar.
Rais berkata antara lokasi yang dijangka menjadi tumpuan pelancong sepanjang cuti Aidiladha dan cuti sekolah ialah kawasan Bandar Hilir, Ayer Keroh selain Pantai Tanjung Bidara yang sememangnya menjadi destinasi pilihan pengunjung setiap kali musim perayaan.
Beliau berkata Tasik Cincin di Jasin yang merupakan produk pelancongan baharu negeri turut dijangka menarik kehadiran pelancong, sekali gus merancakkan sektor pelancongan Melaka sepanjang tempoh cuti berkenaan.
Dalam pada itu beliau mengingatkan orang ramai yang pulang ke kampung supaya memastikan kediaman berada dalam keadaan selamat sebelum ditinggalkan termasuk memaklumkan kepada jiran terdekat bagi membantu memantau kawasan perumahan.
Katanya, peranan jiran dan komuniti setempat juga penting dalam membantu memantau keselamatan rumah serta kawasan kejiranan yang ditinggalkan sepanjang musim perayaan.
Beliau berkata kerajaan negeri menerusi PBT sentiasa bersedia menghadapi sebarang kemungkinan termasuk insiden bencana sepanjang musim perayaan dan setakat ini keadaan di Melaka berada dalam situasi terkawal.
Terdahulu beliau bersama Panglima 3 Divisyen turut menunaikan solat sunat Aidiladha sebelum menyertai simbolik program ibadah korban melibatkan 14 ekor lembu hasil sumbangan pelbagai pihak termasuk orang ramai di masjid berkenaan.
-- BERNAMA