KUALA LUMPUR: Laungan ‘Tangkap Azam Baki’ bergema mengiringi perhimpunan yang mula bergerak dari hadapan pusat beli-belah Sogo menuju ke Dataran Merdeka, di sini, pada Sabtu.
Peserta dilihat berarak secara berkumpulan sambil membawa sepanduk serta melaungkan slogan berkenaan sebagai tanda bantahan dan menyuarakan tuntutan mereka.
Perhimpunan anjuran Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) itu merupakan tunjuk perasaan kedua diadakan tahun ini, susulan kontroversi pemilikan saham yang dikaitkan dengan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki, selain dakwaan mengenai manipulasi pengambilalihan korporat yang turut dikaitkan dengan SPRM.
Azam mula memegang jawatan itu pada 9 Mac 2020 dan meneruskan perkhidmatan melepasi usia persaraan melalui tiga pelanjutan kontrak, masing-masing selama setahun, pada 2023, 2024 dan 2025.
Tinjauan di lokasi mendapati suasana setakat ini masih terkawal dengan kehadiran pasukan polis bagi memantau perjalanan perarakan dan memastikan keselamatan semua pihak.