DALAM landskap kesusasteraan Melayu yang sentiasa berkembang, pengiktirafan terhadap karya dan karyawan menjadi pemangkin penting dalam memastikan kelangsungan tradisi penulisan yang bermutu tinggi.
Di negeri selatan tanah air, penganjuran Anugerah Sastera Johor muncul sebagai satu wadah signifikan yang bukan sahaja mengiktiraf bakat karyawan tempatan, malah memperkukuh kedudukan Johor sebagai pusat kegiatan sastera yang aktif dan berwibawa. Anugerah dwitahunan ini merupakan simbol penghargaan terhadap daya fikir, kreativiti, dan sumbangan karyawan tempatan dalam memartabatkan bahasa dan sastera kebangsaan.
Sejarah perkembangan sastera di Johor memperlihatkan kesinambungan tradisi intelektual yang kukuh, sejak zaman Kesultanan Johor-Riau yang terkenal sebagai pusat penyebaran bahasa dan persuratan Melayu klasik. Warisan ini diteruskan dalam bentuk yang lebih moden melalui pelbagai inisiatif, termasuklah pengiktirafan formal seperti Anugerah Sastera Johor. Dengan sokongan institusi seperti Dewan Bahasa dan Pustaka serta kerjasama daripada persatuan penulis negeri terutamanya Persatuan Penulis Johor, anugerah ini menjadi landasan untuk mengetengahkan karya yang berkualiti tinggi dan berdaya saing.
Anugerah Sastera Johor kali ke-14 bagi tahun 2026 telah berlangsung pada 23 April 2026 di Kompleks Warisan Sultan Abu Bakar, Yayasan Warisan Johor, Johor Bahru. Majlis telah disempurnakan oleh YB Raven Kumar a/l Khishnasamy, Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Warisan dan Budaya Negeri Johor merangkap wakil rasmi Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.
Lebih penting, penganjuran Anugerah Sastera Johor mencerminkan iltizam berterusan oleh kerajaan negeri Johor dalam menjulang prestij karya anak negeri. Kerajaan negeri melihat sastera bukan sekadar bidang seni, tetapi sebagai wahana pembinaan jati diri, pemikiran kritis, dan warisan budaya yang harus dipelihara. Melalui sokongan dalam bentuk penganjuran anugerah, peruntukan dana serta penglibatan dalam program-program pengembangan sastera, kerajaan negeri telah membuka ruang yang luas kepada penulis tempatan untuk berkarya dan menyerlahkan bakat dan ilmu persuratan Melayu.
Iltizam ini turut dizahirkan melalui usaha memperluas platform penerbitan dan pendedahan karya penulis Johor ke peringkat yang lebih tinggi termasuk pada peringkat kebangsaan dan antarabangsa. Setelah Usman Awang dinobatkan sebagai Sasterawan Negara ketiga pada tahun 1983, belum ada lagi sasterawan negeri Johor yang menyambung legasi kesasterawanannya.
Karya-karya yang dihasilkan oleh anak kelahiran negeri Johor diberi perhatian sewajarnya agar tidak tenggelam dalam arus penerbitan yang semakin kompetitif termasuk kerancakan penerbitan dalam talian. Dengan adanya pengiktirafan seperti Anugerah Sastera Johor, karya-karya ini bukan sahaja dinilai, malah diangkat sebagai representasi kecemerlangan intelektual dan budaya keilmuan di negeri Johor.
Matlamat utama penganjuran Anugerah Sastera Johor adalah untuk menjulang martabat kepengarangan dalam kalangan penulis tempatan, khususnya yang menghasilkan karya dalam bahasa Melayu. Melalui pengiktirafan ini, para penulis didorong untuk terus berkarya dengan lebih tekun, berani meneroka idea baharu serta memperhalus teknik penulisan mereka. Anugerah ini turut memberi ruang kepada penulis muda untuk tampil dan dikenali sekali gus memastikan kesinambungan generasi dalam dunia persuratan Melayu.
Dalam konteks kepengarangan, anugerah ini memainkan peranan penting sebagai penanda aras kualiti. Karya yang dinilai merangkumi pelbagai genre seperti novel, cerpen, puisi moden, puisi tradisional, dan drama. Terdapat juga kategori bukan kreatif, iaitu buku sastera, biografi dan autobiografi, esei dan kritikan sastera serta rencana pembangunan Johor.
Hal ini memperlihatkan keprihatinan penganjur menyantuni kepelbagaian genre penulisan bagi mendekatkan jurang perbezaan antara karya ilmiah dan separa ilmiah dengan karya kreatif. Proses penilaian yang teliti oleh panel juri yang berpengalaman dan berwibawa telah memastikan hanya karya terbaik sahaja yang dipilih. Hal ini bukan sahaja meningkatkan kredibiliti anugerah tersebut, malah memberi keyakinan kepada masyarakat bahawa karya yang diiktiraf benar-benar mempunyai nilai estetik dan pemikiran yang tinggi.
Lebih daripada itu, Anugerah Sastera Johor turut berfungsi sebagai medium memperkaya khazanah persuratan Melayu. Setiap karya yang diangkat melalui anugerah ini menjadi sebahagian daripada dokumentasi budaya yang mencerminkan pemikiran, nilai, dan realiti masyarakat semasa. Penulis bukan sekadar bercerita tetapi berperanan sebagai perakam zaman yang menyampaikan suara masyarakat melalui bahasa yang indah dan bermakna.
Selain memberi penghargaan kepada karya, anugerah ini juga mengiktiraf tokoh-tokoh sastera yang telah menyumbang kepada perkembangan dunia penulisan. Pengiktirafan terhadap tokoh ini penting sebagai tanda penghormatan terhadap jasa mereka di samping menjadi inspirasi kepada generasi baharu. Tokoh ini sering kali menjadi rujukan dalam dunia sastera, baik dari segi gaya penulisan mahupun ketekunan dan disiplin mereka dalam berkarya.
Bagi tahun 2026, Sasterawan Negeri Johor telah dianugerahkan kepada Dr. Maskiah Masrom. Beliau merupakan Pengarah Pusat Persuratan Melayu, Kolej Universiti Islam Johor Sultan Ibrahim.
Dengan iltizam padu kerajaan negeri Johor dalam memartabatkan karya anak negeri, anugerah ini berpotensi untuk terus berkembang sebagai antara pengiktirafan sastera yang berprestij di Malaysia. Dalam usaha memartabatkan bahasa dan sastera Melayu, Anugerah Sastera Johor telah berdiri sebagai mercu tanda kecemerlangan yang wajar dibanggakan. Tahniah diucapkan kepada kerajaan negeri Johor yang konsisten dalam penganjuran anugerah ini dan Yayasan Warisan Johor selaku penggerak utama Anugerah Sastera Johor.