Skip to main content

Malaysia

Konflik Asia Barat: Malaysia berhak tuntut pampasan daripada AS - Pemimpin PKR

KUALA LUMPUR, 16 Mac -- Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Saifuddin Nasution (tengah) bergambar sambil menunjukkan poster Kongres Nasional Khas pada sidang media di Ibu Pejabat PKR hari ini.  Turut serta Timbalan Setiausaha Agung PKR, Muhammad Zakwan Mustafa Kamal (kanan) dan Timbalan Setiausaha Agung PKR, Dr Sathia Prakash Nadarajan (kiri).  Kongres Nasional Khas Malaysia MADANI:Pelaksanaan Sebuah Idealisma akan diadakan di Stadium Malawati Shah Alam, 9 pagi Sabtu ini.  --fotoBERNAMA
Dr. Sathia Prakash Nadarajan, menegaskan bahawa tuntutan tersebut wajar dikemukakan secara rasmi melalui Kedutaan AS di Malaysia. - Gambar fail/Bernama

PETALING JAYA: Amerika Syarikat (AS) digesa agar bertanggungjawab dan membayar pampasan kepada negara-negara yang terjejas, termasuk Malaysia, susulan konflik di Asia Barat yang dicetuskan oleh kuasa besar tersebut.

Pengarah Pilihan Raya Negeri (PRN) PKR Selangor, Dr Sathia Prakash Nadarajan, menegaskan bahawa tuntutan tersebut wajar dikemukakan secara rasmi melalui Kedutaan AS di Malaysia.

Menurut beliau, kesan peperangan dan sekatan ekonomi tidak hanya terhad kepada pihak yang berkonfrontasi, malah mengheret negara membangun ke kancah ketidakstabilan ekonomi yang tidak sepatutnya ditanggung.

"Kita berhak menuntut melalui kedutaan AS agar mereka mempertimbangkan pampasan terhadap kesan ekonomi yang ditanggung negara lain. 

"Kuasa besar tidak seharusnya dibiarkan mencetuskan konflik tanpa memikirkan impak negatif terhadap negara ketiga yang tidak berdosa," katanya dalam satu kenyataan.

Mengulas mengenai ketegangan antara AS-Israel dan Iran, beliau menyoroti beberapa implikasi kritikal terhadap rakyat Malaysia:

“Gangguan bekalan di Asia Barat meningkatkan kos bahan api, logistik, dan tenaga secara global.

“Kenaikan kos pengeluaran menyebabkan harga barangan dan perkhidmatan melambung tinggi.

“Ini termasuk menjejaskan keyakinan pelabur dan memperlahankan pertumbuhan ekonomi global serta ketidakstabilan pasaran kewangan,” katanya.

Beliau menekankan bahawa Malaysia perlu berani menyuarakan hak di pentas diplomasi bagi memastikan kebajikan rakyat, terutamanya di peringkat akar umbi, dilindungi daripada kesan geopolitik luar.

"Adalah wajar bagi negara-negara yang terjejas menuntut mekanisme pampasan atau bantuan ekonomi bagi mengimbangi kerugian yang dialami rakyat akibat kenaikan harga barang dan ketidaktentuan pasaran," tambahnya.

Sebagai tindakan susulan, beliau merancang untuk menghantar satu memorandum rasmi ke Kedutaan Amerika Syarikat pada Selasa ini bagi menyatakan bantahan dan tuntutan tersebut.

Must Watch Video