ISTANBUL: Sepanyol pada Isnin mengesahkan satu kes baharu hantavirus dalam kalangan individu yang menjalani kuarantin pencegahan di sebuah hospital di Madrid, lapor Anadolu Ajansi.
“Kes positif itu dikesan semasa pemeriksaan diagnostik berkala dijalankan terhadap kontak yang berada di bawah pemantauan,” menurut Kementerian Kesihatan negara itu dalam hantaran di platform media sosial X.
Ia merupakan kes positif kedua dalam kalangan 14 warga Sepanyol yang dipindahkan ke Tenerife dari kapal persiaran mewah MV Hondius.
Kapal itu membawa kira-kira 150 penumpang dan kru dari 23 negara.
Pada 11 Mei, Menteri Kesihatan Sepanyol mengumumkan, seorang penumpang warga Sepanyol di atas kapal persiaran MV Hondius disahkan positif hantavirus tidak lama selepas pihak berkuasa selesai menjalankan operasi pemindahan kapal itu.
Pihak berkuasa pada Isnin berkata, individu berkenaan telah pun berada di bawah pemantauan klinikal dan pengasingan sejak dimasukkan ke hospital, “selaras dengan protokol yang ditetapkan oleh Sistem Amaran Awal dan Respons Pantas.”
Susulan pengesahan menerusi ujian PCR, pesakit itu dipindahkan ke Unit Pengasingan Tahap Tinggi di Hospital Gomez Ulla, dan pesakit berkenaan akan terus berada di bawah pemantauan perubatan khusus dan langkah biokeselamatan yang ketat.
“Pesakit itu akan terus dimasukkan ke hospital di bawah pemantauan perubatan khusus serta langkah biokeselamatan yang diperuntukkan bagi kes seumpama ini,” menurut kementerian itu.
Pihak berkuasa kesihatan menegaskan bahawa pengesanan itu dibuat dalam sistem kawalan yang telah pun diaktifkan.
“Pengesanan kes berlaku dalam sistem pengasingan dan kawalan yang telah diaktifkan, justeru ia tidak mengubah situasi risiko kepada penduduk umum,” menurut kementerian itu.
-- BERNAMA-ANADOLU