Skip to main content

Malaysia

KL sedia jadi pemain utama industri hiburan serantau - Hannah

Hannah Yeoh Fahmi Fadzil_Bernama
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil (kiri) bersama Hannah (dua, kiri), Pengarah Urusan Live Nation Malaysia Paramananthan Rajagopal (tengah) dan Ketua Perkhidmatan Jenama dan Pemasaran CelcomDigi Chan May Ling (dua, kanan) pada majlis pelancaran KL Headline Season 2026 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, malam Isnin. - Gambar Bernama

KUALA LUMPUR: Kuala Lumpur bersedia untuk menjadi pemain utama dalam industri hiburan serantau, dengan kerajaan komited untuk mengurangkan kerenah birokrasi serta mempercepat proses kelulusan bagi acara antarabangsa.

Menteri Wilayah Persekutuan, Hannah Yeoh berkata, beliau telah mengarahkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), untuk memudah cara dan mempercepat proses permohonan bagi memastikan ibu negara kekal sebagai destinasi pilihan pemain industri global.

“Masa itu wang, kelajuan adalah mata wang. Dan inilah cara saya mahu memacu DBKL ke hadapan dalam memudah cara kelulusan apabila mereka berurusan dengan permohonan. 

"Kita tidak boleh hanya duduk dan menunggu perkara berlaku, sebaliknya kita perlu memudah cara dan menggerakkan proses tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran KL Headline Season 2026 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, di sini, pada Isnin.

Hannah turut menekankan impak ekonomi besar yang dibawa oleh acara langsung, dengan merujuk kepada Festival Air yang baru-baru ini diadakan di Kuala Lumpur, yang menjana RM320 juta kepada ekonomi Malaysia dalam tempoh hanya satu hujung minggu.

“Pulangan kepada ekonomi Malaysia datang daripada pelawat antarabangsa, kira-kira 100,000 orang bagi Festival Air, yang membelanjakan sekitar RM255 juta hanya pada hujung minggu tersebut. 

"Bagi pengunjung tempatan pula, 150,000 orang membelanjakan kira-kira RM64 juta,” katanya.

Bagi terus mengurangkan halangan kepada penganjur, Yeoh berkata, kerajaan telah mengurangkan serta menurunkan kadar deposit bagi persembahan tempatan, konsert, serta persembahan pentas dan kebudayaan.

“Kami benar-benar mahu menghapuskan segala kerenah birokrasi dan saya akan memantau perkara ini bersama-sama DBKL, selain meminta Datuk Bandar Kuala Lumpur meneliti prosedur operasi standard (SOP) serta proses yang terlibat,” katanya.

​-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement