BAITULMAQDIS: Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dimasukkan ke Hospital Hadassah Ein Kerem pada Isnin malam bagi menjalani prosedur pergigian.
Menurut jurucakapnya, rawatan itu melibatkan rawatan pergigian biasa di pusat perubatan berkenaan, namun butiran lanjut mengenai jenis prosedur tidak didedahkan.
Perkembangan itu sekali lagi menarik perhatian terhadap tahap kesihatan pemimpin berusia 76 tahun tersebut, yang sebelum ini beberapa kali menjalani rawatan perubatan dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini.
Awal bulan ini, Netanyahu ketika memberi keterangan di mahkamah menegaskan keadaan kesihatannya berada dalam keadaan “baik” dan “cemerlang,” selain menolak dakwaan menghidap penyakit serius.
Beliau juga dilaporkan aktif menjalani pemeriksaan kesihatan berkala serta rutin senaman bagi memastikan tahap kecergasan kekal optimum.
Kemasukan Netanyahu ke hospital berlaku di tengah tekanan politik dan keselamatan yang berterusan di Israel, termasuk konflik yang masih memuncak di beberapa kawasan serantau.
Setakat ini, tiada maklumat diberikan mengenai tempoh rawatan atau sama ada beliau perlu berehat daripada tugas rasmi.