Skip to main content

Dunia

[TERKINI] Amerika lancar serangan ke atas Iran ketika rundingan berlangsung

U.S. President Donald Trump delivers remarks in the Memorial Amphitheater during a Memorial Day event at Arlington National Cemetery, Arlington, Virginia, U.S., May 25, 2026. REUTERS/Nathan Howard
Donald Trump memaklumkan, pentadbirannya telah melaksanakan serangan bersifat “pertahanan diri” di selatan Iran, termasuk menyasarkan tapak pelancaran peluru berpandu serta bot yang dipercayai digunakan untuk menanam periuk api. - Gambar Reuters

WASHINGTON: Donald Trump pada Isnin memaklumkan, pentadbirannya telah melaksanakan serangan bersifat “pertahanan diri” di selatan Iran, termasuk menyasarkan tapak pelancaran peluru berpandu serta bot yang dipercayai digunakan untuk menanam periuk api.

Perkembangan itu berlaku ketika Presiden Amerika Syarikat (AS) itu dalam masa sama menyatakan bahawa rundingan berkaitan konflik berkenaan sedang berjalan dalam keadaan baik.

Menurut jurucakap Komando Pusat Amerika Syarikat, Kapten Tim Hawkins, tindakan ketenteraan tersebut bertujuan melindungi keselamatan anggota tentera Amerika Syarikat daripada ancaman yang dikemukakan oleh pasukan Iran.

Dalam kenyataannya, beliau menjelaskan,operasi berkenaan dilaksanakan sebagai langkah pencegahan, selain menegaskan bahawa pasukan tentera Amerika Syarikat masih mengamalkan pendekatan berhati-hati sepanjang tempoh gencatan senjata yang sedang berkuat kuasa.

Bagaimanapun, setakat ini, tiada perincian lanjut didedahkan mengenai bentuk ancaman yang dihadapi atau implikasi langsung terhadap proses rundingan yang sedang berlangsung.

Pada 24 April lalu, Trump mencadangkan agar sebarang perjanjian untuk menamatkan konflik Iran perlu merangkumi penyertaan beberapa negara lain dalam Perjanjian Abraham.

Cadangan tersebut melibatkan negara seperti Arab Saudi, Pakistan, Qatar, Turkiye, Mesir dan Jordan. Bahrain dan Emiriah Arab Bersatu pula merupakan antara negara terawal menyertai perjanjian itu pada tahun 2020.

Mengulas perkara itu, Trump menegaskan, penyertaan negara-negara berkenaan adalah penting selepas usaha besar yang dilakukan oleh Amerika Syarikat bagi membentuk kerangka diplomatik tersebut.

“Selepas segala usaha yang dilakukan Amerika Syarikat untuk menyatukan situasi yang kompleks ini, adalah wajar semua negara ini, sekurang-kurangnya, menyertai Perjanjian Abraham secara serentak sebagai syarat asas.” katanya dalam satu kenyataan hari ini

Namun demikian, cadangan berkenaan menerima kritikan daripada sebahagian ahli politik Republikan yang berpandangan pendekatan lebih tegas terhadap Iran perlu diambil, sekali gus berpotensi menambah cabaran dalam rundingan diplomatik sedia ada.

Dalam perkembangan berkaitan, beberapa negara termasuk Arab Saudi menegaskan, sebarang usaha menormalkan hubungan dengan Israel perlu disertai dengan laluan jelas ke arah penubuhan negara Palestin.

Secara keseluruhannya, hala tuju muktamad bagi perjanjian dengan Iran masih belum dapat dipastikan, termasuk kemungkinan sama ada Iran sendiri akan menyertai Perjanjian Abraham pada masa hadapan.

Perjanjian Abraham merupakan satu siri perjanjian diplomatik, ekonomi dan keselamatan yang diwujudkan dengan pengaruh Amerika Syarikat, bertujuan memperkukuhkan kerjasama di rantau Asia Barat dan Afrika Utara, selain membuka jalan kepada hubungan lebih formal dengan Israel. - Agensi

Must Watch Video

Advertisement