Skip to main content

Dunia

Argentina berdebar! Messi alami masalah hamstring menjelang Piala Dunia

May 24, 2026; Miami, Florida, USA; Inter Miami CF forward Lionel Messi (10) dribbles the ball against the Philadelphia Union during the second half at Nu Stadium. Mandatory Credit: Sam Navarro-Imagn Images
Tempoh pemulihan Messi belum dapat dipastikan dan bergantung kepada perkembangan tahap fizikal serta respon terhadap rawatan yang diterimanya. - Gambar Reuters

MIAMI: Kebimbangan menyelubungi kem Argentina apabila kaptennya, Lionel Messi dilaporkan mengalami masalah otot hamstring kiri kurang tiga minggu sebelum bermulanya Piala Dunia.

Perkembangan itu disahkan oleh Inter Miami selepas pemain berusia 38 tahun itu terpaksa dikeluarkan pada minit ke‑73 ketika pasukannya mencatat kemenangan dramatik 6-4 ke atas Philadelphia Union dalam aksi Major League Soccer (MLS).

Messi dilihat memegang bahagian belakang pahanya sejurus melakukan sepakan percuma sebelum meminta untuk digantikan, sekali gus mencetuskan tanda tanya terhadap tahap kecergasannya menjelang kejohanan terbesar dunia itu.

Pemeriksaan lanjut mendapati bintang Argentina itu mengalami bebanan otot yang berkait dengan keletihan pada hamstring kirinya.

Bagaimanapun, tempoh pemulihan Messi belum dapat dipastikan dan bergantung kepada perkembangan tahap fizikal serta respon terhadap rawatan yang diterimanya.

Jurulatih Inter Miami, Guillermo Hoyos sebelum ini menjelaskan keadaan itu berpunca daripada keletihan, selain faktor permukaan padang yang berat yang menambah tekanan kepada pemain.

Saingan MLS kini direhatkan sementara bagi memberi laluan kepada Piala Dunia yang akan berlangsung di Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico dari 11 Jun hingga 19 Julai.

Messi sebelum ini disenaraikan dalam skuad awal Argentina oleh ketua jurulatih Lionel Scaloni, menjelang misi mempertahankan kejuaraan yang dimenangi di Qatar pada 2022.

Pemenang lapan kali Ballon d’Or itu dijangka terus mengemudi La Albiceleste dalam kejohanan berkenaan, yang berpotensi menjadi penampilan keenamnya di pentas Piala Dunia. - Agensi
 

Must Watch Video

Advertisement