Skip to main content

Malaysia

Kerajaan salur bantuan kepada peniaga terjejas akibat kebakaran di Pasar Sentral Labuan

LABUAN, 15 Mac -- Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh (tiga, kanan) menyantuni serta menyampaikan sumbangan bantuan bencana kepada mangsa kebakaran di Pasar Sentral hari ini.  Satu kebakaran telah berlaku pada tengah malam 13 Mac lalu melibatkan lapan unit meja jualan sayur-sayuran, di pasar itu.  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Hannah (tiga, kanan) menyantuni serta menyampaikan sumbangan bantuan bencana kepada mangsa kebakaran di Pasar Sentral hari ini. - Foto Bernama

LABUAN: Kerajaan Persekutuan menyalurkan bantuan bencana kepada lapan peniaga yang terjejas akibat kebakaran yang memusnahkan beberapa gerai sayur di Pasar Sentral, di sini, bagi meringankan beban ditanggung mereka.

Bantuan berjumlah RM10,000 itu disampaikan semasa lawatan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh ke lokasi kejadian untuk bertemu dengan peniaga yang terkesan dan menilai kerosakan yang disebabkan oleh kejadian itu.

Kebakaran yang berlaku sekitar tengah malam 13 Mac itu melibatkan lapan meja jualan sayur-sayuran yang terletak di bahagian pasar basah bangunan Pasar Sentral di bawah Pusat Transformasi Bandar (UTC) Labuan.

Hannah berkata sumbangan itu mencerminkan keprihatinan kerajaan terhadap kebajikan peniaga kecil dan berharap bantuan itu dapat membantu mereka pulih daripada kerugian yang dialami.

"Kerajaan dan pihak berkuasa tempatan akan terus menyokong peniaga yang terjejas oleh kejadian yang tidak dijangka seperti ini," kata beliau semasa lawatan tersebut yang turut diiringi timbalannya Datuk Lo Su Fui serta para pegawai Perbadanan Labuan (LC).

LC, yang menguruskan bangunan Pasar Sentral itu akan menjalankan kerja-kerja pembaikan dan penyelenggaraan untuk memulihkan kemudahan yang rosak bagi memastikan keselesaan dan keselamatan peniaga dan orang ramai.

Terdahulu, LC mengumumkan pengurangan 50 peratus kadar sewaan bulanan untuk peniaga yang beroperasi di pasar basah dan kering UTC Labuan di Pasar Sentral, yang memberi manfaat kepada 517 peniaga.

Pengurangan sewa yang dilaksanakan bagi tempoh setahun dari 1 Januari hingga 31 Disember 2026 melibatkan gerai dengan sewa bulanan antara RM35 hingga RM3,500 itu bertujuan untuk meringankan beban kewangan peniaga di samping merangsang aktiviti ekonomi dalam komuniti setempat.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video