Skip to main content

Malaysia

Kemelut DUN Negeri Sembilan: 14 ADUN BN setuju sokong Kerajaan Perpaduan - Zahid Hamidi

 Zahid Hamidi, UMNO. Kredit: Waffy Noor Azmi/Astro AWANI
Ahmad Zahid berkata keputusan tersebut dicapai selepas perbincangan hari ini bersama semua ADUN terlibat serta mengambil kira pendirian parti di peringkat nasional. -Foto Astro AWANI

PUTRAJAYA: Seramai 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) di Negeri Sembilan bersetuju untuk terus menyokong Kerajaan Perpaduan negeri bagi memastikan kestabilan politik terus terpelihara.

Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata keputusan tersebut dicapai selepas perbincangan hari ini bersama semua ADUN terlibat serta mengambil kira pendirian parti di peringkat nasional.

“Saya telah mengadakan perbincangan dengan 14 ADUN daripada Negeri Sembilan itu untuk melihat semula bahawa dengan tidak berhajat untuk kita ‘retract’ (tindakan 14 ADUN terbabit).

“Tetapi kita mahu membetulkan persepsi yang ada bahawa usaha yang dilakukan oleh mereka bukan berhasrat untuk menebuk atap atau membentuk kerajaan negeri melalui pintu belakang,” kata Ahmad Zahid.

Beliau berkata demikian selepas ditemui pada Forum Mydigital ID: Powering Trusted Digital Access Across Malaysia’s Digital Ecosystem, di sini, pada Khamis.

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi BN menambah, langkah yang diambil oleh 14 ADUN berkenaan didorong oleh niat baik untuk mempertahankan institusi raja dan adat di Negeri Sembilan.

Bagaimanapun, beliau mengakui tindakan awal itu telah menimbulkan pelbagai persepsi dan tafsiran yang berbeza daripada niat sebenar ADUN terbabit.

"Saya ingin menyebutkan bahawa langkah yang dibuat oleh 14 ADUN di Negeri Sembilan adalah merupakan satu langkah yang berniat baik agar institusi raja dan institusi adat di Negeri Sembilan dapat dihormati dan dapat didukung oleh semua rakyat di Negeri Sembilan, khususnya oleh ADUN-ADUN daripada UMNO dan BN,” katanya lagi.

Isnin lepas, kesemua 14 ADUN UMNO dan BN Negeri Sembilan mengumumkan hilang kepercayaan dan menarik sokongan terhadap kerajaan negeri pimpinan Aminuddin.

Pada 28 April lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan bahawa Aminuddin akan menjalankan tugas seperti biasa sebagai Menteri Besar seperti dititahkan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir. 

 

Must Watch Video