Skip to main content

Malaysia

Keamanan asas kesejahteraan, Raja Muda Perlis seru masyarakat hargai nikmat keamanan

Raja Muda Perlis, Polis
Tuanku Syed Faizuddin (tengah) berkenan bergambar bersama warga IPK Perlis.

KANGAR: Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah bahawa keamanan perlu dihargai dan dipelihara sebagai asas utama kesejahteraan ummah serta kestabilan negara.

Bersempena Sambutan Hari Polis ke-219, baginda menyeru seluruh masyarakat khususnya di Perlis agar menginsafi bahawa keamanan merupakan nikmat terbesar dalam kehidupan.

Menurut baginda, usaha memastikan keupayaan pasukan keselamatan kekal teguh memerlukan setiap anggota polis dilengkapi latihan, kemahiran serta peralatan mencukupi supaya sentiasa bersedia menghadapi ancaman keselamatan yang semakin kompleks.

Dalam pada itu, baginda turut merakamkan penghargaan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) atas kejayaan merampas 510 kilogram dadah jenis methamphetamine bernilai RM25.5 juta di Wang Kelian dan Kaki Bukit antara 24 hingga 28 Mac lalu.

Baginda pada masa sama berharap masyarakat awam di negeri itu terus memainkan peranan dengan melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan kepada pihak berkuasa tanpa berlengah.

“Dengan sikap bertanggungjawab ini, Perlis mampu menjadi negeri paling selamat untuk didiami rakyatnya,” titah baginda.

Terdahulu, baginda berkenan berangkat mengetuai Program Kayuhan Berbasikal sempena Sambutan Hari Polis ke-219 anjuran PDRM Kontinjen Perlis di sekitar Utan Aji, dekat sini.

Turut berangkat, Waris Kedua Negeri Perlis, Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail.

Keberangkatan tiba baginda disambut Ketua Polis Perlis, DCP Datuk Muhammad Abdul Halim bersama Timbalannya, SAC Zaihairul Idrus serta barisan pegawai kanan PDRM Perlis.

Program tersebut diurusetiakan Ibu Pejabat Polis Daerah Arau dan turut disekalikan dengan program MAIPs Peduli anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis.

Dalam program sama, baginda turut berkenan menyampaikan sumbangan daripada MAIPs dan PDRM kepada beberapa penerima termasuk penduduk sekitar Utan Aji.

Baginda juga sempat menziarahi pesara PDRM, DSP (B) Ishak Baharun di kediamannya.

Majlis diakhiri dengan jamuan santapan, ucapan aluan Ketua Polis Perlis serta sesi tazkirah oleh Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor.

Must Watch Video