Skip to main content

Malaysia

Johari dijangka teruskan perbincangan ART dengan Amerika Syarikat - Fahmi

PUTRAJAYA, 4 Mac -- Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil bercakap pada sidang media mingguan di Kementerian Komunikasi hari ini.  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Fahmi Fadzil berkata, perkara itu dimaklumkan Johari ketika memberi taklimat ringkas dalam mesyuarat Jemaah Menteri pada Selasa. - Foto arkib Bernama

PUTRAJAYA: Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Datuk Seri Johari Abdul Ghani dijangka mengadakan beberapa perbincangan dengan Amerika Syarikat berhubung isu Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART).

Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, perkara itu dimaklumkan Johari ketika memberi taklimat ringkas dalam mesyuarat Jemaah Menteri pada Selasa.

"Jemaah Menteri diberi sedikit taklimat ringkas oleh Menteri MITI, Datuk Seri Johari Abdul Ghani dan difahamkan bahawa beliau akan meneruskan beberapa perbincangan dengan pihak Washington DC.

"Pada waktu ini belum ada maklumat tambahan," katanya semasa sidang media selepas mesyuarat Jemaah Menteri, di sini, pada Selasa.

ART yang dimeterai antara Malaysia dan Amerika Syarikat pada Oktober tahun lalu tidak lagi terpakai.

Ini berikutan keputusan Mahkamah Agung Amerika Syarikat membatalkan sebahagian besar langkah tarif menyeluruh yang sebelum ini diperkenalkan Presiden Donald Trump.

Bagaimanapun, setakat ini kerajaan belum menerima sebarang hitam putih daripada Washington berhubung keputusan pembatalan perjanjian itu.

Buat masa ini, Malaysia hanya dikenakan tarif global sebanyak 10 peratus selepas Trump menggunakan Seksyen 122 di bawah Akta Perdagangan 1974 AS.

Must Watch Video