Skip to main content

Malaysia

Isteri Tun Daim, dua anak masih di luar negara - Kumar

KUALA LUMPUR, 23 Sept -- Balu bekas Menteri Kewangan Allahyarham Tun Daim Zainuddin, Toh Puan Na’imah Abdul Khalid hadir di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini.  Pendakwaan mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan Na’imah untuk menyemak keputusan Mahkamah Sesyen yang menolak permintaannya merujuk lapan persoalan undang-undang kepada Mahkamah Persekutuan berhubung pertuduhan gagal mengisytiharkan harta.  --fotoBERNAMA (2025) HAK CIPTA TERPELIHARA
Menurut Kumar, semakan rekod Jabatan Imigresen mendapati kesemua mereka meninggalkan negara sejurus selepas laporan polis dibuat. - Gambar fail/Bernama

KAJANG: Polis mengesahkan isteri Allahyarham Tun Daim Zainuddin, Toh Puan Na'imah Abdul Khalid dan dua anaknya yang disiasat berhubung dakwaan komplot menjatuhkan kerajaan masih berada di luar negara.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Bukit Aman, Datuk M Kumar berkata, polis sudah berusaha menghubungi individu-individu terbabit sejurus siasatan dimulakan namun mendapati mereka sudah meninggalkan negara.

“Semakan rekod Jabatan Imigresen mendapati kesemua mereka meninggalkan negara sejurus selepas laporan polis dibuat.

“Kertas siasatan sudah dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara dan kita sedang menunggu arahan serta nasihat lanjut,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang, di sini pada Selasa.

Dalam pada itu, Kumar memberitahu, setakat ini seramai 17 saksi sudah dirakam percakapan bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Kes itu katanya, disiasat mengikut Seksyen 124B Kanun Keseksaan.

Pada 27 Februari lalu, Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail menerusi kenyataan  berkata, satu laporan diterima pihaknya berkenaan isu terbabit dengan dakwaan melibatkan seorang individu tempatan berpengaruh dengan agensi media antarabangsa.

Kata Mohd Khalid, siasatan perkara itu dijalankan Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Jabatan Siasatan Jenayah.

Berkenaan dakwaan itu, Na'imah dalam satu kenyataan menyifatkan dakwaan beliau cuba menggugat atau menjatuhkan kerajaan sebagai tidak masuk akal, sambil menegaskan tidak pernah terbabit, mempertimbangkan atau menyokong sebarang usaha sedemikian.

Beliau turut mempersoalkan bagaimana sebuah kerajaan boleh digulingkan dengan bantuan media antarabangsa atau firma perhubungan awam dan menegaskan mendapatkan khidmat nasihat firma perhubungan awam (PR) profesional bukan satu kesalahan.

Must Watch Video

Advertisement