Skip to main content
Advertisement

Malaysia

Peniaga jangka prospek perniagaan lebih sederhana pada suku kedua 2026 - DOSM

81746431341_MohdUzir.jpg
Mohd Uzir berkata, sektor pembinaan, perdagangan borong dan runcit serta industri menjangka prestasi perniagaan yang kurang memberangsangkan pada suku kedua 2026. - Gambar fail

KUALA LUMPUR: Peniaga menjangka prospek perniagaan yang lebih sederhana pada suku kedua 2026 dengan petunjuk keyakinan yang mereda kepada -1.8 peratus daripada 4.0 peratus pada suku tahun sebelumnya, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DoSM).

Ketua Perangkawan Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata sektor pembinaan, perdagangan borong dan runcit serta industri menjangka prestasi perniagaan yang kurang memberangsangkan pada suku kedua 2026, mencerminkan sikap berhati-hati dalam kalangan peniaga berikutan persekitaran perniagaan yang mencabar serta ketidaktentuan ekonomi global. 

“Sektor perkhidmatan terus mengekalkan prospek yang positif bagi suku kedua 2026, didorong oleh pelaksanaan berterusan langkah sokongan kerajaan yang membantu mengekalkan kuasa beli pengguna serta menyokong aktiviti perniagaan, khususnya dalam sektor perkhidmatan yang berteraskan permintaan domestik,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Uzir berkata sektor pembinaan bertukar pesimis dengan petunjuk keyakinan -9.5 peratus pada suku kedua 2026 berbanding 1.4 peratus pada suku sebelumnya.

Petunjuk keyakinan untuk sektor perdagangan borong dan runcit menurun kepada -7.5 peratus pada suku rujukan manakala sektor industri meramalkan prestasi kurang memberangsangkan dengan petunjuk keyakinan -3.7 peratus berbanding  3.3 peratus pada suku pertama 2026.

“Sektor perkhidmatan menjangka prestasi perniagaan mereka kekal optimis dengan petunjuk keyakinan 6.2 peratus berbanding 6.6 peratus pada suku sebelumnya,” katanya.

 Mohd Uzir berkata jangkaan perniagaan yang bercampur-campur diperhatikan di seluruh negeri, mencerminkan kepelbagaian prospek ekonomi antara negeri. 

Johor mencatatkan petunjuk keyakinan 1.2 peratus, Kedah (3.2 peratus), Kelantan (3.8 peratus), Negeri Sembilan (1.9 peratus), Perak (0.9 peratus), Selangor (0.2 peratus) dan Terengganu (5.5 peratus).

Sebaliknya, beberapa negeri menunjukkan sentimen pesimis, dengan Melaka merekodkan  -9.1 peratus, Pahang (-7.1 peratus), Pulau Pinang (-5.2 peratus), Perlis (-7.1 peratus), Sabah (-7.6 peratus), Sarawak (-5.9 peratus), Kuala Lumpur (-2.8 peratus), Labuan(-9.5 peratus) dan Putrajaya (2.3 peratus).

Melihat sentimen perniagaan bagi tempoh April hingga September 2026, peniaga kekal optimis, dengan imbangan bersih mereda kepada 7.9 peratus daripada 10.8 peratus yang direkodkan sebelum ini.

Sektor industri terus mencatatkan sentimen perniagaan yang positif, mencatatkan imbangan bersih sebanyak 13.0 peratus, meningkat daripada 6.2 peratus sebelumnya.

Sektor perkhidmatan menjangka situasi perniagaan yang positif dalam tempoh enam bulan akan datang dengan imbangan bersih sebanyak 7.5 peratus berbanding 20.6 peratus yang direkodkan untuk tempoh Januari hingga Jun 2026.

Mohd Uzir menjangka penurunan dalam perniagaan dalam sektor pembinaan yang dicerminkan oleh imbangan bersih sebanyak -5.4 peratus berbanding 12 peratus sebelumnya.

Pada masa yang sama, sentimen yang lemah dicatatkan dalam sektor perdagangan borong dan runcit, dengan imbangan bersih sebanyak -1.0 peratus berbanding 6.9 peratus sebelumnya.

Dari segi hasil kasar, 33 peratus peniaga mengunjurkan peningkatan dalam hasil kasar pada suku kedua 2026, sebanyak 43 peratus menjangka hasil kasar kekal tidak berubah manakala 24 peratus meramalkan penurunan, menghasilkan imbangan bersih 9.0 peratus untuk suku rujukan.

 Bagi pekerja, katanya 14.7 peratus peniaga menjangka peningkatan dalam bilangan pekerja, manakala 75.8 peratus mengunjurkan untuk mengekalkan pekerja dan 9.5 peratus menjangka pengurangan, menjadikan imbangan bersih 5.3 peratus pada suku kedua 2026.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement