KAJANG: Polis akan memanggil pakar Perlembagaan pada 3 Jun ini untuk dirakam percakapan berhubung hantaran bekas Ahli Parlimen Damansara Tony Pua di media sosial berkaitan titah diraja dan Rukun Negara.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk M Kumar berkata, rakaman percakapan ahli akademik itu perlu bagi mendapatkan pandangan dari sudut akademik berhubung hantaran yang menyentuh Perlembagaan Persekutuan.
“Kita akan merakam percakapan seorang pakar Perlembagaan Persekutuan bagi membantu siasatan sebelum kertas siasatan dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang, di sini pada Selasa.
Selain itu Kumar berkata, setakat ini polis sudah merakam percakapan 95 saksi termasuk Tony Pua.
Menurutnya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan kerana mengeluarkan kenyataan yang boleh mendatangkan khianat awam serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Sebelum ini, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Kembangan, Wong Siew Ki dan bekas Exco Selangor, Ronnie Liu supaya hadir ke Dataran Selangor sekurang-kurangnya sekali seminggu untuk membaca Rukun Negara serta memahami kepentingan menghormati institusi diraja.
Susulan titah itu, Tony Pua menerusi satu hantaran di Facebook menyatakan Malaysia mengamalkan sistem Raja Berperlembagaan dengan kuasa Raja tertakluk kepada fungsi tertentu termasuk berkaitan adat Melayu, Islam serta urusan Perlembagaan seperti pelantikan Menteri Besar dan pembubaran Dewan Undangan Negeri.