Skip to main content

Malaysia

JMU 2026 diiktiraf MBOR sebagai Karnival Pendidikan Tinggi Maya Terbesar

SHAH ALAM, 16 Mac -- Naib Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM) Prof Datuk Dr Shahrin Sahib @ Sahibuddin (tengah) bersama Pengarah Bahagian Kemasukan Pelajar Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA), Mohd Najib Mohd Sarif (dua,kanan), wakil Malaysia Book of Record, Megat Faris Hussein Megat Muzaffar Shah (kiri), wakil Maxis, Bobby Chong Sooi Loo (dua,kiri) dan Pengarah Bahagian Pengambilan Pelajar UiTM_BERNAMA
Shahrin Sahib (tengah) bersama Mohd Najib (dua,kanan) dan wakil-wakil dari organisasi lain bergambar bersama replika Malaysia Book of Records sempena Karnival Jom Masuk Universiti (JMU) 2026 di UiTM Shah Alam, Selangor, pada Isnin. - Gambar Bernama

SHAH ALAM: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) meraih pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) bagi kategori “Karnival Pendidikan Tinggi Maya Terbesar” menerusi penganjuran Karnival Jom Masuk Universiti (JMU) 2026 Zon Tengah I secara maya.

Pengiktirafan itu sekali gus menandakan pencapaian baharu dalam usaha memperluaskan akses maklumat pendidikan tinggi kepada masyarakat.

Pada tahun ini, Universiti Teknologi MARA (UiTM) telah dilantik sebagai tuan rumah bagi penganjuran karnival tersebut di Zon Tengah I bermula hari ini hingga esok yang turut melibatkan penyertaan semua universiti awam (UA) serta pelbagai agensi pendidikan tinggi.

Naib Canselor UiTM, Profesor Datuk Dr Shahrin Sahib @ Sahibuddin berkata, penganjuran karnival secara maya itu merupakan pendekatan inovatif selaras dengan keperluan transformasi digital dalam penyampaian maklumat pendidikan tinggi kepada masyarakat.

“Karnival ini membuka ruang kepada pelajar untuk mendapatkan maklumat berkaitan laluan pendidikan tinggi, program pengajian serta peluang yang ditawarkan oleh UA, institusi pendidikan tinggi awam (IPTA), MARA (Majlis Amanah Rakyat) Bahagian Pendidikan Tinggi dan institusi pendidikan tinggi swasta (IPTS),” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan Majlis Berbuka Puasa Bersama UiTM Sempena Karnival Jom Masuk Universiti Zon Tengah 1 (Virtual) di Kompleks Antarabangsa UiTM Shah Alam, di sini, pada Isnin, yang turut dihadiri Pengarah Bahagian Kemasukan Pelajar Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) Jabatan Pendidikan Tinggi, Mohd Najib Mohd Sarif.

Shahrin berkata, bagi menyokong pelaksanaan karnival secara maya itu, UiTM turut membangunkan sebuah platform digital khas iaitu jommasuku.uitm.edu.my, bagi memastikan pengalaman interaktif kepada pengunjung.

Beliau berkata, karnival kali ini melibatkan 62 agensi dan institusi pendidikan tinggi dengan 367 reruai maya, menunjukkan komitmen, sokongan padu dan keyakinan pelbagai pihak terhadap kejayaan program serta memberikan maklumat peluang pengajian kepada pelajar.

“Kami berharap platform ini dapat membantu pelajar membuat keputusan yang lebih jelas mengenai laluan pendidikan tinggi mereka, sekali gus melahirkan generasi graduan yang berilmu, berkemahiran serta mampu menyumbang kepada pembangunan negara,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 

Must Watch Video