Skip to main content

Malaysia

JAS Kedah terima 142 aduan pembakaran terbuka

PADANG TERAP, 22 Mac -- Keadaan tanah sawah yang kering dan merekah akibat cuaca panas di sini, hari ini.  Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) dalam kenyataan hari ini memaklumkan bahawa daerah Padang Terap merekodkan Tahap 2 (Gelombang Haba) setakat jam 4 petang.  Manakala, 10 kawasan lain di Semenanjung berada pada Tahap 1 (Berjaga-jaga).  Kawasan terlibat ialah seluruh Perlis; Kubang Pasu, Pokok Sena, Sik, Pulau Langkawi, Kuala Muda, Pendang, Baling dan Bandar Baharu di Kedah; serta daerah Timur L
Pembakaran terbuka terutama dalam keadaan cuaca kering ketika ini amat berbahaya kerana boleh mencetuskan kebakaran tidak terkawal. - Gambar fail/ Bernama

ALOR SETAR: Jabatan Alam Sekitar (JAS) Kedah menerima 142 aduan yang melibatkan pembakaran terbuka dari 1 Jan hingga 22 Mac lepas sekali gus menunjukkan trend peningkatan aktiviti itu di seluruh negeri.

Pengarah JAS Kedah Sharifah Zakiah Syed Sahab berkata namun, bilangan sebenar pembakaran terbuka yang berlaku itu dijangka jauh lebih tinggi kerana bukan semua aktiviti berkenaan diadukan kepada pihaknya.

“Situasi ini amat membimbangkan memandangkan keadaan cuaca kering yang sedang melanda, aktiviti itu boleh menyebabkan kebakaran mudah merebak dan sukar dikawal, ditambah pula dengan punca air yang semakin terhad.

“Pembakaran terbuka tidak terkawal ini boleh menyebabkan risiko pencemaran udara yang buruk serta risiko keselamatan kepada masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata bagi menangani isu itu secara agresif, JAS Kedah telah mempertingkat pemantauan di lapangan dengan melaksanakan sebanyak 109 rondaan penguatkuasaan dalam tempoh sama.

“Rondaan diteruskan semasa musim perayaan ini dan JAS Kedah sentiasa bekerjasama rapat dengan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bagi mengenal pasti kawasan berisiko tinggi dan sering mengalami insiden pembakaran terbuka.

“Langkah ini untuk mengesan punca pembakaran di peringkat awal, terutama di kawasan tapak pelupusan sisa, pertanian dan perumahan. Rondaan ini juga untuk memberi kesedaran dan amaran terus kepada masyarakat tentang bahaya pembakaran terbuka terhadap alam sekitar dan kesihatan awam,” katanya.

Dalam pada itu, ​Sharifah Zakiah menegaskan pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu atau syarikat yang dikesan melakukan kesalahan tersebut.

“JAS Kedah kini dalam proses tindakan perundangan terhadap beberapa  kes pembakaran terbuka yang telah dikesan sebelum ini, termasuk  di tapak  pelupusan sampah haram di Baling. Pembakaran terbuka merupakan satu kesalahan serius di bawah Seksyen 29A Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

“Seluruh warga Kedah diminta menghentikan sebarang aktiviti pembakaran sisa bagi mengelakkan tindakan undang-undang serta risiko pencemaran udara dan keselamatan,” katanya.

Beliau berkata orang awam boleh menyalurkan maklumat mengenai aktiviti pembakaran terbuka melalui talian bebas tol 1-800-88-2727 atau secara dalam talian menerusi portal e-Aduan JAS.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video