PEKAN: Negara kehilangan lebih 20,000 hektar keluasan tanah sawah padi di seluruh negara setakat ini, kata Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu.
Beliau berkata ia berikutan kawasan berkenaan diusahakan bagi projek perumahan atau pembangunan lain selain ada yang terbiar begitu sahaja.
“Ada kawasan sawah yang terbiar kerana banyak keluarga generasi muda tidak meneruskan sawah dengan berhijrah ke bandar,” katanya kepada Bernama ketika meninjau projek pembukaan semula kawasan padi terbiar di Pahang Tua di sini hari ini.
Dalam pada itu, beliau menyeru syarikat dengan bantuan agensi kerajaan untuk mengusahakan tanah sawah padi yang terbiar menerusi perjanjian sewaan dengan tuan tanah.
Sebagai contoh, Mohamad berkata PLS Group telah membuat perjanjian dengan menyewa kawasan sawah terbiar di Pahang Tua untuk diusahakan semula.
Beliau berkata tindakan itu secara tidak langsung membantu pesawah yang berusia dan tidak lagi mampu mengusahakan tanah mendapat faedah di samping mengurangkan tanah sawah yang terbiar.
Projek pembukaan semula kawasan padi terbiar di Pahang Tua membabitkan keluasan 200 hektar dengan 100 daripada 548 petani telah menyertai program itu melalui syarikat PLS.
Sementara itu, Penyelia Projek PLS Group Dr Hushaimi Ismail berkata menerusi projek itu, pihaknya telah membersihkan kira-kira 200 hektar tanah yang terbiar dengan 72 hektar telah ditanam semula.
Beliau berkata kerja itu bermula sejak Tahun Baharu Cina lepas menerusi perjanjian sewaan selama enam musim dengan petani.
Menerusi perjanjian itu petani boleh mendapatkan hasil serta kawasan sawah padi mereka yang terbiar dapat dibangunkan dengan lebih baik.
-- BERNAMA