MEKAH: Pihak Berkuasa Keselamatan Siber Kebangsaan Arab Saudi (NCA) mendedahkan, lebih 300 entiti nasional mendapat manfaat daripada Program Pemerkasaan Keselamatan Siber bagi Musim Haji 1447 Hijrah, lapor Agensi Berita Saudi (SPA).
Program itu dibangunkan bagi meningkatkan kesiapsiagaan siber sistem teknologi dan perkhidmatan yang disediakan sepanjang musim haji tahun ini, membina keupayaan nasional khusus dalam bidang berkenaan serta meningkatkan kesedaran dalam kalangan jemaah haji dan petugas institusi nasional.
Program itu membantu memperkukuh keselamatan digital sepanjang musim haji serta menyokong usaha nasional untuk menggerakkan semua sumber bagi menyediakan perkhidmatan terbaik kepada jemaah haji.
Ia merangkumi empat komponen utama iaitu pengesanan dan tindak balas ancaman siber, risiko dan penilaian siber, latihan simulasi siber serta kesedaran keselamatan siber.
Di bawah komponen latihan simulasi siber, NCA melaksanakan Latihan Keselamatan Siber bagi Musim Haji 1447 Hijrah dengan penyertaan lebih 300 entiti nasional yang diwakili lebih 1,000 pegawai dan pakar.
Latihan itu melibatkan simulasi pelbagai serangan siber sebenar, pelaksanaan mekanisme tindak balas serta pendedahan kepada teknik serangan terkini.
NCA ialah entiti yang bertanggungjawab terhadap keselamatan siber di Arab Saudi dan menjadi rujukan nasional bagi hal ehwal siber.
Ia bertujuan memperkukuh keselamatan siber bagi melindungi kepentingan strategik negara, infrastruktur dan keselamatan nasional, selain melindungi infrastruktur kritikal, sektor keutamaan serta perkhidmatan dan aktiviti kerajaan.
NCA turut berusaha membangunkan dan mengemas kini rangka kerja tindak balas insiden, memantau pematuhan terhadapnya serta membina keupayaan nasional khusus dalam bidang itu bagi mewujudkan ruang siber Arab Saudi yang selamat dan diyakini, sekali gus menyokong pertumbuhan serta kemakmuran negara.
-- BERNAMA-SPA