Skip to main content

Malaysia

Hantavirus: Saringan dipertingkat di pintu masuk, lebih 20,000 kapal diperiksa – Dr Dzulkefly

PUTRAJAYA, 20 April -- Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berucap pada Majlis Pelancaran Dapatan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2025: Kesihatan Warga Emas di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) hari ini.  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Dr Dzulkefly (foto) berkata pemantauan ketat dijalankan dalam sektor maritim, dengan pemeriksaan kesihatan diwajibkan ke atas semua kapal dan bot yang memasuki perairan Malaysia. -Foto Bernama

CYBERJAYA: Malaysia telah mempertingkatkan saringan kesihatan di semua pintu masuk antarabangsa bagi menyekat kemasukan hantavirus ke dalam negara.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata setakat 10 Mei, tiada kes hantavirus dilaporkan di Malaysia atau melibatkan rakyat Malaysia, manakala enam kes yang disahkan setakat ini dilaporkan di luar negara.

Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa negara perlu terus berwaspada terhadap virus bawaan tikus itu.

Beliau berkata langkah berwaspada perlu diambil tanpa menimbulkan kebimbangan dalam kalangan rakyat.

“Kita tidak mahu menimbulkan kebimbangan, tetapi pada masa sama kita juga tidak mahu rakyat leka.

"Tiada negara yang benar‑benar selamat, justeru kita perlu mengambil langkah berjaga‑jaga dan terus bersiap siaga,” katanya selepas menghadiri Majlis Penutup National Tobacco Control Conference (NTCC) and Lung Health Summit, di sini, pada Ahad.

Dalam perkembangan berkaitan, Dr Dzulkefly berkata pemantauan ketat turut dilaksanakan di sektor maritim, dengan pemeriksaan kesihatan diwajibkan ke atas semua kapal dan bot yang memasuki perairan Malaysia, khususnya yang tiba dari kawasan berisiko tinggi.

Beliau berkata setakat ini, sebanyak 22,367 kapal dan bot telah diperiksa di pintu masuk negara.

Mengulas tahap kesiapsiagaan fasiliti kesihatan, Dr Dzulkefly berkata sistem penjagaan kesihatan negara berada pada tahap bersedia untuk mengesan dan merawat jangkitan virus berkenaan.

Beliau berkata Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) mempunyai keupayaan untuk mendiagnosis hantavirus menggunakan kaedah ujian tindak balas berantai polimerase (PCR).

“Keupayaan diagnostik dan ujian standard sudah tersedia. Pejabat kesihatan di semua pintu masuk antarabangsa juga bersiap siaga dan akan terus memperkukuh aktiviti sanitasi,” katanya.

 

Must Watch Video