Skip to main content

Dunia

ASEAN ikrar tiada toleransi terhadap dadah terlarang

81735726238_AseanFlag.jpg
ASEAN mengiktiraf peranan penting Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN Mengenai Dadah (AMMD) dan mekanisme subsidiarinya dalam memperkukuh penyelarasan serantau. - Gambar fail

MANILA: ASEAN berikrar untuk mengamalkan pendekatan tanpa toleransi terhadap perdagangan dadah terlarang sebagai sebahagian daripada usaha membina rantau bebas dadah, lapor Agensi Berita Filipina (PNA).

Semasa Sidang Kemuncak ASEAN Ke-48 dan Mesyuarat Berkaitan di Cebu pada Jumaat, blok itu mengiktiraf peranan penting Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN Mengenai Dadah (AMMD) dan mekanisme subsidiarinya dalam memperkukuh penyelarasan serantau bagi menangani pengedaran dadah terlarang.

Pemimpin Asia Tenggara menyatakan sokongan terhadap AMMD yang diadakan setiap dua tahun sekali dan menantikan kepengerusian Filipina bagi mesyuarat kesembilan tahun ini, menurut kenyataan pengerusi ASEAN yang dikeluarkan pada Sabtu.

Antara komitmen yang dipersetujui semasa sidang kemuncak itu ialah pelaksanaan berterusan Pelan Kerja ASEAN Bagi Melindungi Komuniti Daripada Dadah Terlarang yang berpaksikan Pelan Strategik Komuniti Politik-Keselamatan ASEAN.

“Inisiatif keutamaan itu akan melengkapkan objektif bersama negara anggota bagi mewujudkan “ASEAN yang selamat dan terjamin,” menurut pengerusi ASEAN.

ASEAN juga akan memperingati Hari Peringatan Mangsa Dadah ASEAN pada 26 Jun sempena Hari Antarabangsa Menentang Penyalahgunaan Dadah dan Pemerdagangan Haram, bagi mengetengahkan usaha bersepadu rantau itu dalam memperkukuh daya tahan komuniti serta meningkatkan kesedaran awam mengenai kesan buruk penggunaan dadah terlarang.

Para pemimpin turut memuji sumbangan berterusan Pusat Kerjasama Narkotik ASEAN, khususnya penerbitan Laporan Pemantauan Dadah ASEAN (ADM) tahunan, sebagai inisiatif utama yang menyokong usaha serantau memerangi dadah terlarang.

Mereka juga mengambil maklum hasil Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN Ke-19 (ADMM) dan ADMM-Plus Ke-12 yang diadakan pada 2025.

“Kami memperakui kemajuan ketara dalam kerjasama pertahanan serantau sepanjang dua dekad lalu, termasuk penubuhan ADMM-Plus pada 2010 yang mencerminkan komitmen ASEAN terhadap seni bina keselamatan serantau yang terbuka dan inklusif,” menurut kenyataan pengerusi ASEAN itu.

Organisasi itu mengalu-alukan kerjasama pertahanan yang diperluas dalam kalangan negara anggota yang membolehkan ADMM dan ADMM-Plus menangani cabaran keselamatan semasa di rantau ini serta membuat persediaan menghadapi ancaman masa depan.

Mereka turut memuji penglibatan yang semakin meningkat dengan rakan kongsi luar, sama ada di bawah kerangka ADMM/ADMM-Plus mahupun di luar kerangka itu, termasuk menerusi pelaksanaan berterusan Pandangan ASEAN terhadap Indo-Pasifik.

“Kami mengambil maklum inisiatif di bawah Kepengerusian Filipina yang bertujuan melabur untuk masa depan menerusi pemerkasaan Agenda Belia, Keamanan dan Keselamatan. Kami menantikan aktiviti utama tujuh Kumpulan Kerja Pakar (EWG) ADMM-Plus dalam kitaran 2024-2027 yang sedang berlangsung,” menurut pengerusi ASEAN itu.

 

Perlindungan hak asasi manusia, usaha keamanan

Para pemimpin turut menyatakan pencapaian signifikan Suruhanjaya Antara Kerajaan ASEAN Mengenai Hak Asasi Manusia (AICHR) dalam mempromosi dan melindungi hak asasi manusia di rantau ini, termasuk usaha memperkukuh kapasiti institusi suruhanjaya itu serta meningkatkan kerjasama rentas sektor dan rentas tonggak.

Mereka menyokong Pelan Kerja Lima Tahun AICHR 2026-2030 dan menantikan pelaksanaannya yang “tepat pada masanya, berkesan dan berorientasikan hasil,” selaras dengan ASEAN 2045: Masa Depan Bersama Kita dan visinya untuk membentuk Komuniti ASEAN yang berteraskan rakyat, berorientasikan rakyat dan berasaskan hak asasi manusia.

“Menerusi mekanisme ini, kita dapat memperkukuh kerjasama serantau bagi menangani realiti kehidupan dan keperluan rakyat ASEAN, khususnya golongan rentan dan terpinggir,” menurut kenyataan itu.

Mereka turut menyatakan sokongan terhadap perbincangan berterusan mengenai Deklarasi ASEAN Mengenai Hak Kepada Alam Sekitar yang Selamat, Bersih, Sihat dan Lestari.

Mereka menekankan kepentingan kerjasama AICHR dengan rakan kongsi antarabangsa dan serantau berkaitan bagi menyokong pembangunan kapasiti, kerjasama teknikal dan pertukaran amalan terbaik.

Blok serantau itu turut menggesa kerjasama lebih kukuh dengan institusi keamanan nasional, organisasi masyarakat sivil dan pihak berkepentingan lain bagi mempromosikan dialog, perdamaian dan proses keamanan yang inklusif.

Mereka menekankan keperluan muntuk memajukan inisiatif keamanan di rantau ini menerusi penyertaan wanita dan belia dalam usaha pembinaan keamanan serta pencegahan konflik.

-- BERNAMA-PNA

Must Watch Video