CYBERJAYA: Kira‑kira 10,000 anggota polis akan menjalani saringan awal penyakit berkaitan paru‑paru menerusi Program LungShield, iaitu inisiatif kerjasama strategik antara IHH Healthcare Bhd, Kementerian Kesihatan (KKM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata program itu memberi tumpuan kepada pengesanan awal kanser paru‑paru serta penyakit pernafasan lain.
"Dalam fasa awal, program ini akan menyaring 10,000 anggota polis trafik, yang merupakan antara kumpulan berisiko tinggi menghidap penyakit berkaitan paru-paru disebabkan pendedahan pekerjaan dan persekitaran.
"Inisiatif ini seterusnya akan diperluaskan secara berperingkat ke jabatan-jabatan lain dalam pasukan polis," katanya dalam ucapan pada Majlis Penutup National Tobacco Control Conference (NTCC) And Lung Health Summit, pada Ahad.
Menurut beliau, Program LungShield turut bertujuan memperkukuh koordinasi antara sektor awam dan swasta bagi memastikan pesakit mendapat akses rawatan yang lebih efisien dan menyeluruh.
Dianggarkan 95 peratus kes kanser paru-paru di Malaysia hanya dikesan pada Tahap 3 atau 4, sekali gus menyumbang kepada kadar kelangsungan hidup relatif lima tahun yang rendah iaitu sekitar 11 peratus, menurut Majlis Kawalan Tembakau Malaysia (MCTC).
Penggunaan vape dalam kalangan belia kekal menjadi kebimbangan utama, dengan penggunaan e-rokok dalam kalangan remaja berumur antara 13 dan 17 tahun meningkat daripada 9.8 peratus pada 2017 kepada 14.9 peratus pada 2022.
"Pendirian Malaysia adalah jelas. Kita tidak boleh membiarkan ketagihan 'dijenamakan' semula sebagai gaya hidup.
"Kita tidak boleh membiarkan produk berbahaya dijadikan satu tarikan kepada golongan muda, dan kita tidak boleh membiarkan kesihatan generasi masa depan kita dikompromi," tegas Dr Dzulkefly.
Tambah beliau, penguatkuasaan Akta Kawalan Produk Merokok demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) merupakan instrumen penting kesihatan awam untuk mengawal selia produk berkenaan serta memastikan kesejahteraan rakyat diutamakan berbanding kepentingan komersial.