AHLI Jawatankuasa Pemandu Global Sumud Flotilla 2.0, Saif Abu Keshek dan Thiago Avila dilapor telah dibebaskan oleh rejim Zionis Israel pada Ahad.
Perkara itu disahkan oleh aktivis pro‑Palestin, Musa Al Nuwayri, menerusi hantaran di platform Threads.
Menurut Musa, Saif telah dibebaskan di Athens, manakala Thiago pula dilepaskan melalui Mesir dan dijangka tiba di destinasi seterusnya dalam tempoh beberapa jam.
"Saif baru sahaja tiba di Athens, Greece. Manakala Thiago akan tiba di Mesir beberapa jam sahaja lagi! Alhamdulillah!
"Teruskan bersuara! 9.600 tahanan Palestin, termasuk 350 kanak-kanak masih di dalam penjara Israel. #FreeThemAll," tulis beliau.
Untuk rekod, kedua‑duanya ditahan oleh rejim Zionis Israel ketika misi pelayaran Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0 berada di perairan antarabangsa berhampiran Crete, Greece, pada 30 April lalu.
Mereka kemudiannya dibawa ke Israel dan didakwa di Mahkamah Majistret Ashkelon pada 5 Mei atas beberapa pertuduhan.
Ia termasuk membantu pihak yang dianggap musuh semasa perang, berhubung dengan ejen asing serta menawarkan perkhidmatan kepada organisasi yang didakwa mengancam rejim.
Kedua‑duanya turut dilaporkan berdepan pelbagai bentuk intimidasi sepanjang tempoh tahanan, termasuk layanan fizikal yang kasar, ugutan, serta sesi soal siasat dalam tempoh yang panjang.