Skip to main content

Malaysia

Guru wanita dibebaskan kes amang seksual pelajar lelaki 15 tahun

41747736962_MahkamahkualaLumpu.jpg
Hakim memutuskan demikian selepas mendapati, pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie di akhir kes pendakwaan terhadap cikgu berusia 32 tahun tersebut. - Gambar hiasan

KUALA LUMPUR: Seorang guru wanita dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu, atas dua pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap pelajar lelaki berusia 15 tahun, tiga tahun lalu.

Hakim, Tasnim Abu Bakar memutuskan demikian selepas mendapati, pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie di akhir kes pendakwaan terhadap cikgu berusia 32 tahun tersebut.

“Oleh itu kamu dilepas dan dibebaskan daripada kedua-dua pertuduhan," katanya terhadap tertuduh yang kelihatan tenang di kandang tertuduh.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, tertuduh sebagai orang yang mempunyai hubungan amanah iaitu guru didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja ketika kejadian berusia 15 tahun tiga bulan.

Bagi pertuduhan pertama, kesalahan didakwa dilakukan di dalam kereta di tepi jalan Datuk Abdul Malik di sini, jam 8 malam pada 23 Jun 2023.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang boleh dihukum penjara tidak lebih 20 tahun dan boleh juga dihukum sebat serta dibaca bersama Seksyen 16(1) akta sama.

Bagi Seksyen 16(1) akta sama, tertuduh boleh dihukum penjara tidak lebih lima tahun dan tidak kurang dua sebatan.

Sementara pertuduhan kedua, dia didakwa melakukan kesalahan itu di dalam kereta di perhentian bas Jalan Raja Muda Abdul Aziz, di sini pada jam 9 malam, tarikh serupa.

Kes itu dibuat mengikut Seksyen 14(b) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang dibaca bersama Seksyen 16(1) akta sama yang membawa hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan boleh juga dihukum sebat.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nor Aisyah Mohamed Zanyuin manakala peguam, Fadhli Sutris dan Datuk Ishak Mohd Yusof hadir bagi pihak tertuduh. - Sinar Harian

 

 

 

Must Watch Video