Skip to main content

Malaysia

GSF2.0: Kapal Tam Tam dirosakkan rejim Zionis, 10 rakyat Malaysia dibawa ke Israel - SNCC

Saya telah menerima panggilan daripada Ketua Pengarah Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC), Datuk Dr Sani Araby Abdul Alim Araby.  Beliau menyampaikan taklimat terperinci berhubung insiden 22 kapal misi Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0 yang dipintas dan diceroboh oleh tentera rejim Israel di perairan antarabangsa ketika dalam perjalanan ke Gaza.
Ketua Pengarah SNCC Datuk Sani Araby Abdul Alim Araby berkata perkembangan itu menjadikan 21 kapal misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0 disahkan telah dipintas ketika kira-kira 80 batu nautika menghampiri perairan Greece. - Foto FB Fahmi Fadzil

KUALA LUMPUR: Sumud Nusantara Command Center (SNCC) mengesahkan setakat 7 malam waktu Malaysia kapal Tam Tam tidak dipintas, namun dirosakkan oleh rejim Israel, dengan semua aktivis di dalamnya dalam keadaan selamat.

Ketua Pengarah SNCC Datuk Sani Araby Abdul Alim Araby berkata perkembangan itu menjadikan 21 kapal misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0 disahkan telah dipintas ketika kira-kira 80 batu nautika menghampiri perairan Greece.

Beliau berkata terdapat 30 kapal lain tidak ditahan dan meneruskan pelayaran serta selamat menghampiri perairan Greece. 

“SNCC mengesahkan Thiago Avila dan Saif Abukeshek antara Steering Committee GSF yang turut dipintas dalam satu tindakan yang bersifat ugutan serta bertujuan melumpuhkan keseluruhan misi,” katanya menerusi kenyataan di Facebook rasmi SNCC.

Selain itu, SNCC memaklumkan sebanyak 175 aktivis telah diculik dan dibawa ke Israel menggunakan kapal laut milik rejim Zionis termasuk 10 rakyat Malaysia.

“SNCC turut memaklumkan Ahmad Faezal (pempengaruh media sosial dan penganalisis geopolitik) telah mengalami demam panas dan terpaksa menarik diri di Pelabuhan Sicily, Itali dan telah selamat tiba di Malaysia,” katanya.

Sani Araby memaklumkan beliau telah menghubungi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyatakan sokongan penuh bagi memudah cara proses membawa keluar rakyat Malaysia dan mengecam tindakan Israel yang mencabul undang-undang maritim antarabangsa.

“Perdana Menteri turut memaklumkan beliau akan berusaha berhubung dengan rakan sejawatan dari negara Eropah, Turkiye serta negara serantau bagi memastikan keselamatan rakyat Malaysia terjamin dan mengusahakan pembebasan mereka secepat mungkin,” katanya.

Terdahulu, Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil memaklumkan satu daripada 22 kapal misi kemanusiaan GSF 2.0, yang dipintas tentera Israel di perairan antarabangsa ketika dalam perjalanan ke Gaza berjaya dihubungi setakat 7 malam ini.

Beliau berkata kapal dikenali sebagai TamTam sebelum ini terputus hubungan selama lebih 10 jam selepas alat komunikasi dan enjinnya disabotaj.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video