KUALA LUMPUR: Pengunjung Festival Muzik Air Rain Rave 2026 dari hari ini hingga Sabtu di Bukit Bintang diminta mematuhi undang-undang serta tidak terlibat dengan penyalahgunaan dadah dan gejala tidak bermoral.
Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Fadil Marsus berkata pengunjung diingatkan memberikan kerjasama sepenuhnya dan tidak membawa sebarang barang larangan yang menyalahi undang-undang.
Fadil berkata 500 pegawai serta anggota termasuk bantuan daripada Bukit Aman dan seluruh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di Kuala Lumpur ditempatkan di pelbagai lokasi strategik bagi mengawal ketenteraman awam serta memastikan kelancaran festival itu.
“Setakat ini, kehadiran pengunjung dianggarkan 7,000 orang dan kita menjangkakan angka ini akan melepasi 10,000 menjelang 12 tengah malam nanti,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.
Fadil menasihatkan orang awam merancang perjalanan berikutan penutupan beberapa jalan di sekitar lokasi acara dan meminta semua pihak menjaga keselamatan semasa berkunjung ke situ.
-- BERNAMA