KUALA LUMPUR: Kementerian Pertahanan (MINDEF) menyerahkan sepenuhnya proses siasatan melibatkan dua anggota tentera dipercayai terlibat dalam insiden kecederaan Truper Abdul Hamid Talib kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Dalam kenyataan hari ini, Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata kes itu kini dalam perhatian pihak PDRM bagi tindakan lanjut yang sewajarnya.
Beliau berkata Tentera Darat Malaysia juga telah melaksanakan siasatan dalaman dan hasilnya akan dimajukan dalam masa terdekat.
“Tindakan sewajarnya terhadap anggota terlibat akan ditentukan berdasarkan hasil siasatan.
“MINDEF komited memastikan kes ini ditangani secara telus, adil dan mengikut lunas undang-undang,” katanya.
Mohamed Khaled berkata MINDEF terus memantau rapi keadaan mangsa yang kini berada di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dan sedang menjalani rawatan pemulihan di bawah pemantauan pihak perubatan.
Terdahulu, keluarga Abdul Hamid meminta kerajaan memberi penjelasan dan menjalankan siasatan menyeluruh berhubung kecederaan parah yang dialami anggota Grup Gerak Khas daripada Rejimen 22 Komando itu semasa berada di Kem Iskandar, Mersing, Johor.
Penasihat Lawyers for Liberty (LFL) N. Surendran yang juga jurucakap keluarga mangsa berkata setakat ini mereka belum menerima penjelasan munasabah mengenai punca Abdul Hamid, 25, mengalami kecederaan parah sehingga berada dalam keadaan vegetatif.
Beliau berkata mangsa yang sebelum ini sihat dilaporkan mengalami kecederaan parah pada 11 Mac ketika berada di kem itu.
-- BERNAMA