PUTRAJAYA: Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) akan memulakan pengambilan kadet kumpulan pertama pada 1 Julai depan sebagai persediaan bagi pengoperasian Sistem Transit Rapid (RTS) Link Johor Bahru-Singapura.
Ketua Pengarah AKPS Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata kira-kira 460 kadet akan dipilih untuk menjalani latihan intensif selama tiga bulan sebelum ditempatkan secara rasmi di RTS Johor Bahru menjelang Oktober depan.
Beliau berkata langkah itu bagi memastikan setiap anggota mempunyai tempoh mencukupi untuk menyesuaikan diri dengan sistem kerja dan aspek teknikal sebelum RTS beroperasi sepenuhnya pada 1 Jan 2027.
"Kita akan memulakan fasa percubaan sistem kerja dan rel selama dua bulan bagi memastikan semua petugas di kedua-dua lokasi iaitu Woodlands (Singapura) dan Bukit Chagar (Johor Bahru) benar-benar mahir serta cekap dengan prosedur operasi sebelum tarikh pembukaan," katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Menyentuh mengenai modul latihan, Mohd Shuhaily berkata AKPS akan menerapkan elemen regimental dalam budaya kerja bagi memastikan tahap disiplin dan integriti tertinggi dalam kalangan anggota.
"Saya mahu menzahirkan disiplin yang lebih baik... melalui budaya regimental ini, kita dapat mengawal integriti dan budaya kerja supaya setiap arahan dipatuhi sepenuhnya tanpa banyak persoalan," katanya.
Beliau berkata antara isu yang perlu ditangani ialah ketidakpatuhan terhadap arahan larangan penggunaan telefon bimbit oleh anggota penguat kuasa di kaunter Imigresen.
Dalam perkembangan berkaitan, Mohd Shuhaily memaklumkan pihaknya telah menyerahkan kajian matriks mengenai keperluan penggunaan senjata api bagi anggota AKPS kepada kementerian untuk penilaian lanjut.
"Buat masa ini, kita mempertimbangkan penggunaan senjata api dan taser (alat perenjat elektrik)... taser dilihat lebih relevan untuk penugasan di lapangan terbang manakala senjata api amat diperlukan bagi kawalan di sempadan utara tanah air," katanya.
Beliau juga berkata perolehan senjata itu bukan bertujuan untuk menyamai unit bersenjata penuh sebaliknya memadai bagi menjamin keselamatan anggota ketika bertugas di pintu sempadan yang terdedah kepada aktiviti penyeludupan.
-- BERNAMA