KUALA LUMPUR: Dua bekas pengarah syarikat pelaburan didakwa di dua Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menipu dalam pelaburan perniagaan minyak diesel dan menerima wang hasil daripada aktiviti haram.
Shamsul Rijal Mohd Yussof, 74, dan bekas isterinya Hamidah Ab Hamid, 62, masing-masing mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Hakim Azrul Darus dan Norma Ismail.
Di hadapan Azrul, Shamsul Rijal didakwa atas pertuduhan menipu Afifi Ahmad, 49, dengan memperdayakannya dalam pelaburan perniagaan minyak diesel dengan menjanjikan keuntungan sehingga mendorong mangsa membuat transaksi pindahan wang sebanyak RM725,000 ke dalam akaun bank yang didaftarkan atas nama Syarikat Spectrum Global Sdn Bhd.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah bank di Brickfields, di sini pada 2.39 petang, 26 Feb 2024 mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum setahun dan maksimum 10 tahun dengan sebatan dan boleh didenda, jika sabit kesalahan.
Dia turut didakwa atas pertuduhan menerima wang tunai berjumlah RM20,000 daripada akaun bank Spectrum Global yang ditunaikan melalui akaun bank milik seorang wanita berusia 63 tahun, iaitu wang itu merupakan hasil daripada aktiviti haram.
Kesalahan berkenaan didakwa dilakukan di sebuah cawangan bank, Jalan Tun Razak, di sini pada 15 Mac 2024, mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA).
Sesyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun serta denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan dilakukan atau RM5 juta, mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Di hadapan Norma, Shamsul Rijal dan Hamidah didakwa secara niat bersama menerima wang berjumlah RM122,000 daripada akaun bank milik Spectrum Global yang ditunaikan melalui akaun bank milik Reach Resource Management Plt, iaitu wang itu merupakan hasil daripada aktiviti haram, di sebuah cawangan bank di Taman Melawati, di sini pada 26 Feb 2024.
Hamidah berdepan satu lagi pertuduhan iaitu menerima wang berjumlah RM130,000 daripada akaun bank milik Spectrum Global ke dalam akaun bank miliknya, iaitu wang itu merupakan hasil daripada aktiviti haram, di sebuah cawangan bank di KL City Centre pada 6 Mac 2024 hingga 29 Mac 2024.
Kesemua pertuduhan mengikut perenggan 4(1)(b) AMLATFPUAA yang membawa hukuman serupa.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurliyana R.Azmi, Muhammad Zul Hilmi Latif dan peguam Farhanna Roslan mewakili Shamsul Rijal manakala Hamidah tidak diwakili peguam.
Mahkamah membenarkan Shamsul Rijal dikat jamin berjumlah RM50,000 dengan seorang penjamin manakala jaminan RM20,000 terhadap Hamidah. Mahkamah menetapkan 8 Jun ini untuk sebutan kes.
-- BERNAMA