Skip to main content

Bisnes

Krisis bekalan global: Terengganu laksana penjajaran semula belanjawan negeri

Ahmad Samsuri (kanan) ketika berucap pada pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu di Wisma Darul Iman di Kuala Terengganu pada Khamis.
Ahmad Samsuri berkata pengubahsuaian belanjawan tersebut akan menumpukan kepada perbelanjaan untuk menggerakkan ekonomi berasaskan sektor. - Gambar/ Sinar Harian

KUALA TERENGGANU: Kerajaan Negeri Terengganu melaksanakan penjajaran semula Belanjawan Negeri susulan tekanan ekonomi akibat krisis bekalan global ketika ini.

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar berkata pengubahsuaian belanjawan tersebut akan menumpukan kepada perbelanjaan untuk menggerakkan ekonomi berasaskan sektor.

“Kerajaan negeri akan memberi tumpuan kepada sektor keutamaan yang mempunyai ekonomi terluas dan penglibatan rakyat paling ramai tanpa mengabaikan sektor lain,” katanya pada sesi penggulungan Persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu di Wisma Darul Iman, di sini hari ini.

Beliau berkata sektor perkhidmatan khususnya subsektor borong dan runcit, pertanian dan pembinaan dijangka akan paling teruk terjejas berikutan krisis bekalan global tersebut.

Ahmad Samsuri berkata program keraian melibatkan kerajaan negeri juga akan dikurangkan dan dikaji semula bagi memberi tumpuan kepada suntikan insentif ekonomi dalam pelbagai bentuk. 

Menurut beliau, kerajaan negeri sebelum ini telah mengumumkan pemberian moratorium kepada peminjam Skim Pinjaman Modal Tani hingga 12 bulan, bagi mengurangkan beban kewangan golongan terlibat. 

Ahmad Samsuri berkata kerajaan negeri juga sedang menjalankan kajian terhadap beberapa inisiatif termasuk pemberian moratorium kepada peminjam Tabung Usahawan Terengganu Sejahtera dan pemberian insentif kepada pesawah.

“Selain itu pelaksanaan projek pembangunan dan program akan dibuat penilaian semula keperluannya. Projek atau program yang berimpak tinggi dan memberi kesan langsung kepada rakyat dan ekonomi khususnya dalam sektor pertanian, IKS (industri kecil dan sederhana) dan pelancongan akan terus dilaksanakan,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 

Must Watch Video