Skip to main content

Malaysia

Tiada bukti 'kluster kanser' di unit perubatan nuklear PPUM - KKM

[TB]_PPUM GENERIC_PPUM
KKM memaklumkan siasatan menyeluruh telah dijalankan melalui Bahagian Kawalselia Radiasi Perubatan (BKRP) bagi menilai tahap keselamatan radiasi serta pematuhan terhadap keperluan perundangan di bawah Akta Perlesenan Tenaga Atom 1984 [Akta 304].

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan tiada bukti teknikal yang menyokong dakwaan bahawa pendedahan radiasi di fasiliti Unit Perubatan Nuklear, Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) telah menyebabkan kejadian kanser dalam kalangan petugas. 

KKM dalam kenyataan hari ini memaklumkan siasatan menyeluruh telah dijalankan melalui Bahagian Kawalselia Radiasi Perubatan (BKRP) bagi menilai tahap keselamatan radiasi serta pematuhan terhadap keperluan perundangan di bawah Akta Perlesenan Tenaga Atom 1984 [Akta 304].

"Hasil siasatan mendapati tahap keselamatan radiasi di fasiliti berkenaan adalah selamat, terkawal serta tiada isu pematuhan keselamatan sinaran yang kritikal," menurut kenyataan itu.

KKM menjelaskan bahawa keselamatan pesakit, pekerja kesihatan dan orang awam sentiasa menjadi keutamaan, dengan pemantauan berkala serta audit pematuhan akan terus dilaksanakan dari semasa ke semasa bagi memastikan semua fasiliti mematuhi standard keselamatan radiasi yang ditetapkan.

"Orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang tidak sahih yang boleh menimbulkan kebimbangan awam. 

"KKM komited untuk memastikan ketelusan maklumat dan akan terus menyalurkan maklumat yang tepat berdasarkan bukti teknikal," menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA

 

 

 

Must Watch Video