KUALA LUMPUR: Polis menahan seorang pegawai tentera yang disyaki memandu di bawah pengaruh alkohol selepas terbabit dalam kemalangan maut di Kilometer 1.9 Lebuhraya MEX, awal pagi tadi.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur ACP Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata pihaknya menerima laporan kejadian pada 5.38 pagi membabitkan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) e-hailing jenis Perodua Alza dan sebuah kereta Ford Fiesta.
Beliau berkata siasatan awal mendapati Ford Fiesta dipandu lelaki berusia 31 tahun itu dipercayai memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan Perodua Alza dipandu lelaki berusia 41 tahun yang membawa dua penumpang dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
“Akibat pelanggaran itu, seorang penumpang e-hailing lelaki warga Bangladesh berusia 22 tahun maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala, manakala seorang penumpang wanita warga Bangladesh berusia 20 tahun cedera dan dirawat di Hospital Kuala Lumpur,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata pemandu e-hailing itu turut cedera di kepala, manakala pemandu Ford Fiesta dan seorang penumpang wanita tempatan berusia 36 tahun turut cedera.
Mohd Zamzuri berkata ujian pernafasan alkohol terhadap pemandu Ford Fiesta mendapati bacaan melebihi had dibenarkan, manakala ujian saringan air kencing adalah negatif.
Katanya kes disiasat mengikut Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Pindaan 2020) kerana memandu di bawah pengaruh alkohol sehingga menyebabkan kematian.
-- BERNAMA