IPOH: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak tidak menerima sebarang laporan rasmi berhubung dakwaan kemunculan seekor harimau yang dikatakan berkeliaran di Jalan Raya Timur–Barat (JRTB) berhampiran Bukit Jala, Pulau Banding, seperti yang tular di media sosial.
Pengarah Perhilitan Perak Mohd Taufik Abdul Rahman berkata setakat hari ini, pihaknya tidak menerima aduan atau maklumat sahih daripada orang awam berkaitan kejadian berkenaan.
Beliau berkata meskipun tiada laporan diterima, pihaknya telah mengambil langkah proaktif dengan menggerakkan anggota ke lokasi yang dimaksudkan bagi menjalankan siasatan dan pemantauan susulan selepas video berkenaan menjadi tular.
“Kita telah menjalankan siasatan di lapangan bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya dan mendapat gambaran sebenar situasi.
"Laluan JRTB sememangnya dikenal pasti sebagai kawasan habitat semula jadi hidupan liar, selain menjadi laluan lintasan utama bagi pelbagai spesies termasuk harimau, gajah dan tapir yang bergerak di antara Hutan Simpan Amanjaya dengan Hutan Simpan Temenggor," katanya ketika dihubungi hari ini.
Mohd Taufik juga menasihati orang ramai, khususnya pengguna JRTB agar sentiasa berwaspada ketika melalui kawasan berkenaan, terutama pada waktu malam atau awal pagi yang merupakan waktu aktif bagi hidupan liar.
“Pengguna jalan raya dinasihatkan memperlahankan kenderaan, tidak membunyikan hon secara berlebihan serta mengelakkan daripada berhenti atau keluar dari kenderaan sekiranya terserempak dengan hidupan liar.
"Orang awam juga diminta untuk tidak menyebarkan maklumat yang belum disahkan bagi mengelakkan kekeliruan serta kebimbangan dalam kalangan masyarakat," katanya yang turut menggalakkan orang ramai segera melaporkan kepada pihak berkuasa sekiranya mempunyai maklumat kehadiran hidupan liar di kawasan tersebut, bagi membolehkan tindakan sewajarnya diambil dengan segera.
Terdahulu, tular satu video berdurasi 17 saat di media sosial TikTok Fazel JRTB, memaparkan seekor haiwan liar yang dipercayai harimau melintas jalan dalam suasana gelap, sekali gus mencetuskan kebimbangan dalam kalangan pengguna jalan raya.
-- BERNAMA