KUALA LUMPUR: Seorang doktor Malaysia menerajui ujian klinikal ubat di Chicago yang ditemui berjaya menggandakan kadar kelangsungan hidup pesakit kanser pankreas, sekali gus menawarkan harapan baru terhadap antara kanser paling berbahaya itu.
Dr Devalingam Mahalingam, yang mengetuai kajian di Northwestern University, berkata rawatan itu meningkatkan hasil dengan ketara dalam kalangan pesakit kanser pankreas lanjutan, penyakit yang kebanyakan penghidapnya bertahan kurang daripada setahun selepas diagnosis.
Percubaan klinikal fasa dua mendapati pesakit yang dirawat dengan elraglusib bersama kemoterapi standard mempunyai peluang untuk hidup dua kali ganda lebih lama selepas setahun, berbanding mereka yang menerima kemoterapi sahaja.
Rawatan itu juga mengurangkan risiko kematian sebanyak 38 peratus.
Penemuan, yang diterbitkan dalam jurnal Nature Medicine, menandakan satu daripada beberapa kemajuan penting dalam beberapa tahun kebelakangan ini yang menunjukkan manfaat kelangsungan hidup yang signifikan bagi sekumpulan luas pesakit kanser pankreas.
“Kanser pankreas kekal sebagai salah satu tumor pepejal yang paling mencabar untuk dirawat tetapi penemuan ini memberikan optimisme berhati-hati (cautious optimisim), " kata Mahalingam.
Mahalingam dan pasukannya kini menjalankan percubaan fasa tiga yang lebih besar untuk mengesahkan penemuan, meningkatkan harapan bahawa rawatan itu akhirnya akan dapat memberikan manfaat kepada pesakit di seluruh dunia.
Percubaan itu melibatkan 233 pesakit di 60 lokasi di Amerika Utara dan Eropah, memfokuskan pada mereka yang mempunyai kanser pankreas metastatik.
Pesakit yang menerima elraglusib merekodkan median survival 10.1 bulan, berbanding 7.2 bulan bagi mereka yang menjalani kemoterapi sahaja.
Terutama, 44 peratus pesakit dalam kumpulan rawatan masih hidup selepas setahun, berbanding 22 peratus dalam kumpulan kawalan, manakala kira-kira 13 peratus bertahan sehingga dua tahun, satu peristiwa penting yang tidak diperhatikan dalam kalangan mereka yang menerima kemoterapi sahaja.
Menurut penyelidik ubat berkenaan berfungsi secara berbeza daripada rawatan konvensional dengan menyasarkan persekitaran mikro tumor dan mengaktifkan semula tindak balas imun badan terhadap sel-sel kanser.
Walaupun kesan sampingan seperti keletihan dan jumlah sel darah putih yang rendah dilaporkan, kajian itu mendapati profil keselamatan ubat itu boleh diurus.
Kanser pankreas kini merupakan penyebab utama ketiga kematian berkaitan kanser di Amerika Syarikat dan kekal sebagai salah satu kanser paling sukar dirawat.
-- BERNAMA