ANTANANARIVO: Pejabat Presiden Madagascar memaklumkan dalam satu sidang media pada Rabu bahawa terdapat cubaan pembunuhan yang menyasarkan Presiden Michael Randrianirina, ekoran penerbangan dron terma di atas kediamannya, lapor Xinhua.
Menurut Pengarah Komunikasi di Pejabat Presiden Harry Laurent Rahajason, lima dron terma berteknologi tinggi terbang di atas kediaman presiden dan keluarganya pada Ahad malam hingga Isnin.
Dron itu, yang mampu mengesan bahagian dalam sesebuah kediaman, dipercayai digunakan untuk operasi pengawasan serta membantu mengenal pasti sasaran bagi cubaan pembunuhan. Ia bagaimanapun, berjaya dikesan dan diganggu hasil sistem anti-dron yang dipasang di kediaman presiden.
Rahajason turut mendedahkan mengenai satu lagi rancangan untuk membakar bangunan Dewan Negara yang dijadualkan pada Sabtu, turut berjaya digagalkan.
-- BERNAMA-XINHUA