Skip to main content

Dunia

Singapura luluskan tiga lagi negara EU bagi import daging, telur

51661943971_daging.jpg
Kelulusan baharu itu menjadikan jumlah keseluruhan 18 negara anggota EU yang dibenarkan mengeksport produk daging dan telur ke Singapura. - Gambar hiasan

SINGAPURA: Singapura meluluskan tiga lagi negara Kesatuan Eropah (EU), iaitu Yunani, Lithuania dan Latvia sebagai sumber baharu import daging, telur serta produk berasaskannya.

Dalam kenyataan bersama oleh Delegasi EU ke Singapura, Lembaga Taman Negara Singapura (NParks) dan Agensi Makanan Singapura (SFA), ia menyatakan kelulusan baharu itu menjadikan jumlah keseluruhan 18 negara anggota EU yang dibenarkan mengeksport produk daging dan telur ke Singapura.

Negara lain ialah Austria, Belgium, Republik Czech, Denmark, Finland, Perancis, Jerman, Hungary, Ireland, Itali, Belanda, Poland, Portugal, Sepanyol dan Sweden.

“EU dan Singapura bersetuju untuk terus bekerjasama rapat bagi memudah cara perdagangan produk haiwan.

“Langkah memudah cara perdagangan dan kelulusan negara baharu itu akan berkuat kuasa selepas Pihak Berkuasa Kompeten negara anggota EU dan SFA melaksanakan keperluan pentadbiran yang diperlukan,” menurut kenyataan itu pada Khamis.

Menurut kenyataan berkenaan, Singapura dan EU juga bersetuju membenarkan bahan mentah yang digunakan dalam pembuatan produk daging dan telur diperoleh dari mana-mana negara anggota EU yang diluluskan oleh Singapura.

Langkah itu akan meminda keperluan semasa yang menetapkan haiwan dan produk terbitannya mesti dilahirkan serta diternak dalam satu negara anggota EU yang sama.

“Pengaturan ini akan terus memudah cara perdagangan dengan membolehkan rantaian bekalan dalam EU bagi daging, telur dan produk berasaskannya untuk dieksport ke Singapura,” tambah kenyataan itu.

-- BERNAMA

Must Watch Video