Skip to main content

Dunia

Populasi EU menurun 53 juta menjelang 2100 - Statistik

41734305567_London.jpg
Piramid penduduk EU untuk 2025 menunjukkan masyarakat yang mempunyai jangka hayat yang tinggi, kematian yang rendah dan kesuburan yang rendah. - Gamnbar hiasan

MOSCOW: Penduduk Kesatuan Eropah (EU) diunjurkan menurun sebanyak 11.7 peratus, atau 53 juta orang, menjelang 2100, menurut agensi statistik EU Eurostat pada Khamis, lapor Sputnik/RIA Novosti.

Pada 2025, populasi EU dianggarkan 451.8 juta. Pertumbuhan penduduk disambung semula pada 2022 berikutan penurunan yang disebabkan oleh pandemik COVID-19 pada 2021.

Menurut ramalan, populasi akan terus meningkat dalam tempoh tiga tahun akan datang, memuncak pada 453.3 juta pada 2029, sebelum beransur-ansur menurun kepada 398.8 juta menjelang 2100.

Antara 2025 dan 2100, golongan kanak-kanak, orang muda dan penduduk usia bekerja di EU dijangka berkurangan.

Kanak-kanak dan belia akan menurun daripada 20 peratus kepada 17 peratus manakala populasi umur bekerja (berumur 20–64) akan turun daripada 58 peratus kepada 50 peratus.

Sebaliknya, kumpulan umur yang lebih tua (65 tahun ke atas) dijangka meningkat. Bahagian penduduk berumur 65–79 tahun diunjurkan meningkat daripada 16 peratus pada 2025 kepada 17 peratus pada 2100, manakala mereka yang berumur 80 tahun ke atas diramalkan meningkat sebanyak 10 mata peratusan, daripada enam peratus kepada 16 peratus.

Piramid penduduk EU untuk 2025 menunjukkan masyarakat yang mempunyai jangka hayat yang tinggi, kematian yang rendah dan kesuburan yang rendah.

Majoriti penduduk terdiri daripada golongan umur bekerja melebihi 50 tahun manakala golongan muda di bawah umur 20 tahun adalah lebih kecil.

Menjelang 2100, piramid penduduk menunjukkan peralihan ke arah populasi yang semakin berkurangan: kumpulan umur yang lebih tua dijangka meningkat manakala orang muda dan penduduk umur bekerja dijangka berkurangan.

-- BERNAMA-SPUTNIK/RIA NOVOSTI 

 

Must Watch Video