Skip to main content

Malaysia

Dana KL City FC tidak lagi kritikal — Fahmi

PUTRAJAYA, 4 Mac -- Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil bercakap pada sidang media mingguan di Kementerian Komunikasi hari ini.  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Fahmi (foto) berkata beberapa isu yang sebelum ini berbangkit telah diuruskan dengan lebih baik susulan penambahbaikan dalam pengurusan. -Gambar fail/Bernama

KUALA LUMPUR: Isu pengurusan dan kewangan Kuala Lumpur City FC (KL City FC) kini berada dalam keadaan lebih stabil, termasuk berkaitan tunggakan gaji pemain dan kakitangan.

Menteri Komunikasi yang juga penaung kelab itu, Datuk Fahmi Fadzil berkata beberapa isu yang sebelum ini berbangkit telah diuruskan dengan lebih baik susulan penambahbaikan dalam pengurusan.

Menurut beliau, perkembangan itu berlaku sejak beliau dilantik sebagai penaung KL City FC.

“Usaha berterusan telah dilakukan bagi memastikan kelab ini dapat beroperasi dengan lebih teratur dan tersusun.

“Beberapa perkara telah ditambah baik dan kita lihat isu-isu berkaitan penggajian serta tunggakan kini lebih terkawal,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Program Korban Perdana Perpaduan Lembah Pantai di Kuala Lumpur, pada Rabu.

Fahmi berkata isu dana kelab dijangka tidak lagi menjadi masalah besar pada masa hadapan.

Menurutnya, pihak pengurusan kini melaksanakan beberapa langkah penambahbaikan bagi memastikan kelangsungan operasi KL City FC terus terjamin.

Beliau menegaskan aspek pengurusan kewangan dan pentadbiran perlu diperkukuh bagi mengelakkan isu sama berulang pada musim akan datang.

“Kita percaya isu dana insya-Allah tidak lagi menjadi satu isu yang terlalu besar,” katanya.

Tambah beliau, beberapa proses dalaman turut disusun semula bagi memastikan pelaksanaan perancangan berjalan lancar.

Katanya, semua pihak perlu memberi ruang kepada pengurusan kelab untuk melaksanakan tanggungjawab secara profesional.

Katanya, matlamat utama adalah memastikan kelab tersebut kekal kompetitif tanpa dibebani masalah kewangan berulang.

“Kita akan uruskan beberapa perkara untuk pastikan aspek pelaksanaan tidak ada halangan,” katanya.

Must Watch Video

Advertisement