SEPANGGAR: Dakwaan kononnya terdapat kelompok dalam pimpinan negara yang sengaja mengabaikan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) hanya retorik politik yang wajar tidak dilayan.
Tegas Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, pelbagai usaha dilakukan bagi memperincikan pelaksanaan perkara berkenaan melalui perbincangan bersama Kerajaan Negeri.
Anwar berkata pelbagai usaha sudah dilakukan bagi memperincikan pelaksanaan perkara berkenaan melalui perbincangan bersama kerajaan negeri.
"Ketua Setiausaha Perbendaharaan (KSP) Datuk Johan Mahmood Merican telah mengadakan empat pertemuan dengan Kerajaan Negeri bagi menunjukkan kesungguhan kita untuk memperincikan perkara ini.
"Ini bukan sekadar soal angka 40 peratus. Ia melibatkan bagaimana jumlah itu ditentukan, termasuk perkara yang tidak dimasukkan dalam perincian seperti hasil tertentu atau projek pembangunan.
"Untuk menghukum seolah-olah ada kelompok dalam negara kita dalam kalangan pimpinan yang sengaja mengabaikan atau menindakkan MA63.. itu hanya omongan politik bagi saya yang sama sekali tidak wajar kita layan," tambahnya.
Menurutnya, jumlah peruntukan yang diberikan kepada Sabah kini jauh lebih tinggi berbanding yang pernah diluluskan sebelum ini.
“Yang pernah saya sebut di sini bukan untuk 'merampas' 40 peratus itu, tetapi untuk menjelaskan bahawa peruntukan yang kita tambah sejak mengambil alih kuasa jauh lebih tinggi daripada yang pernah diluluskan sebelumnya.
“Perkara ini sepatutnya dijawab bukan hanya oleh saya, tetapi juga oleh pemimpin yang masih aktif sekarang. Mereka harus menjawab terlebih dahulu,” beliau berkata demikian dalam ucapannya ketika menghadiri Bazar Ramadan di University Apartment, Sepanggar, Sabah pada Ahad.