Skip to main content

Malaysia

WCE perkenal versi baharu aplikasi dengan ciri digital dipertingkat, permudahkan perjalanan pengguna

Sumber: WCE
Orang ramai digalakkan untuk memuat turun atau mengemas kini aplikasi WCE melalui Google Play Store dan Apple App Store.

KUALA LUMPUR: Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) memperkenalkan versi baharu aplikasi mudah alih, WCE App, yang kini dipertingkatkan dengan pelbagai ciri digital bagi memudahkan pengguna merancang perjalanan dengan lebih lancar, efisien dan selamat.

Aplikasi yang dinaik taraf ini menyediakan maklumat trafik masa nyata serta fungsi navigasi pintar yang membantu pengguna mendapatkan laluan terbaik menggunakan lebuh raya WCE ke destinasi pilihan mereka.

Setakat ini, WCE App telah mencatat hampir 20,000 muat turun, menunjukkan peningkatan penggunaan perkhidmatan digital dalam kalangan pengguna lebuh raya. Penambahbaikan ini selari dengan usaha WCE memperkukuh pengalaman pengguna melalui penyampaian maklumat yang lebih pantas, tepat dan mudah diakses.

Antara ciri baharu yang diperkenalkan termasuk paparan CCTV trafik secara langsung di sepanjang lebuh raya, serta fungsi “Traffic Update” yang memberikan amaran insiden masa nyata seperti kemalangan, penutupan jalan dan gangguan trafik.

Selain itu, aplikasi ini turut dilengkapi “WCE Assistant” berasaskan kecerdasan buatan (AI) yang membantu menjawab pertanyaan pengguna berkaitan perjalanan dan kemudahan lebuh raya. Fungsi “Route Assistant” pula membantu pengguna merancang laluan perjalanan secara terus melalui aplikasi navigasi.

Pengguna juga boleh menggunakan Kalkulator Kadar Tol bagi menganggar kos perjalanan mengikut plaza masuk, keluar dan kelas kenderaan. Turut disediakan ialah navigasi kemudahan lebuh raya seperti stesen pengecas kenderaan elektrik (EV), kawasan Rehat dan Rawat (R&R), plaza tol serta telefon kecemasan.

Pengarah Urusan WCE, Lyndon Alfred Felix berkata, penambahbaikan ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan syarikat dalam memanfaatkan teknologi digital untuk meningkatkan pengalaman pengguna lebuh raya.

“Kami mahu memastikan pengguna WCE bukan sahaja menikmati perjalanan yang lebih lancar dan selamat, tetapi juga mempunyai akses kepada maklumat yang tepat dan mudah pada setiap masa,” katanya.

Versi baharu WCE App turut membolehkan pengguna meneroka lokasi tarikan pelancongan, mercu tanda bersejarah, hotel dan restoran di sepanjang jajaran WCE dengan lebih mudah. Hanya dengan satu klik, aplikasi akan memaparkan panduan arah serta navigasi terus ke destinasi pilihan.

Dalam pada itu, pengguna juga boleh mendapatkan maklumat kemudahan lebuh raya dengan lebih cepat termasuk lokasi R&R, plaza tol, stesen EV dan telefon kecemasan.

“WCE Assistant” berasaskan AI turut menyediakan bantuan digital secara segera, manakala Kalkulator Kadar Tol membantu pengguna merancang kos perjalanan dengan lebih tepat.

WCE App yang dipertingkatkan ini mencerminkan komitmen syarikat dalam memperkukuh perkhidmatan lebuh raya melalui inovasi digital, sekali gus menyediakan pengalaman perjalanan yang lebih selamat, lancar dan efisien kepada semua pengguna.

Orang ramai digalakkan untuk memuat turun atau mengemas kini aplikasi WCE melalui Google Play Store dan Apple App Store.

 

 

Must Watch Video

Advertisement