NEW DELHI: Rundingan perjanjian antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran dilaporkan masih berjalan, dengan satu cadangan komprehensif kini berada di meja rundingan, kata Setiausaha Negara AS Marco Rubio.
Beliau berkata cadangan yang disifatkan sebagai kukuh itu merangkumi jaminan kelancaran laluan Selat Hormuz serta kesediaan Iran menyertai rundingan nuklear yang bermakna dalam tempoh tertentu, lapor Al Jazeera.
“Kami berharap dapat merealisasikannya. Cadangan ini mendapat sokongan di rantau Teluk dan peringkat global.
“Ia dilihat sebagai langkah munasabah serta penting untuk kestabilan dunia,” katanya kepada pemberita semasa lawatan rasmi ke India.
Bagaimanapun, Rubio menegaskan Presiden AS Donald Trump tidak tergesa-gesa memuktamadkan sebarang perjanjian.
Menurutnya, Trump tidak akan menandatangani perjanjian yang boleh menjejaskan kepentingan AS, sebaliknya memberi ruang kepada proses diplomasi untuk mencapai hasil terbaik.
Kenyataan itu menyusuli perkembangan terdahulu ketika Rubio menghadiri mesyuarat Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) di Sweden, di mana beliau membangkitkan kebimbangan mengenai situasi di Selat Hormuz.
Rubio sebelum ini mendakwa terdapat usaha oleh Iran untuk mengenakan sistem kutipan tol maritim di laluan strategik berkenaan.